INFO SEMASA 14
NOVEMBER 2024
Koperasi Bantu Kerajaan Negeri Jayakan Tahun Melawat Selangor 2025
Oleh NADIAH KAMARUDIN
Kerjasama semua pihak termasuk sektor koperasi amat diperlukan bagi membantu kerajaan negeri menjayakan agenda Tahun Melawat Selangor 2025. EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YB Datuk Borhan Aman Shah berkata, langkah tersebut dilihat sangat penting dalam usaha kerajaan yang menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong tempatan dan luar negara. Menurut beliau, memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama negara kerana kedudukan KLIA 1 dan KLIA 2 dalam negeri yang sama, maka sasaran tersebut dijangka akan dapat dicapai sekali gus memudahkan negeri Selangor untuk berada dalam peta pelancongan utama di peringkat antarabangsa Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pelancongan Gastronomi (Pelancongan Berasaskan Makanan) di Homestay Banghuris, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Selangor pada 27 Oktober 2024. Program tersebut dianjurkan oleh Seksyen Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan (SPPDK) ANGKASA dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Selangor dan Koperasi Bersatu Maju Hulu Chuchoh Berhad. Beliau turut berharap dengan keunikan program yang diperkenalkan oleh Homestay Banghuris, aktiviti pelancongan di Selangor akan berkembang dengan lebih pesat dan pada masa yang sama dapat membantu memperkukuh ekonomi negeri serta membawa manfaat kepada masyarakat setempat. Terdahulu, Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato' Haji Kamarudin Ismail dalam ucapannya menyatakan bahawa SPPDK berjaya merekod jumlah perolehan koperasi jaringan di bawahnya pada tahun 2023 sebanyak RM28 juta. "Pada tahun ini, SPPDK menjangkakan nilai perolehan akan mencapai RM36 juta. SPPDK kini sedang berusaha menjayakan beberapa program pembangunan perniagaan khusus bagi melengkapkan keupayaan koperasi ahli jaringan supaya mampu bersaing di pasaran semasa," ujar beliau. Hadir sama ialah Anggota Lembaga ANGKASA, Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato' Haji Mohd Alias Hamzah, wakil Pengarah MOTAC Negeri Selangor, Encik Muhamad Roslan Khalid dan Pengerusi Homestay Negeri Selangor merangkap Penyelaras Homestay Banghuris, Haji Basir Wagiman.
EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, YB Datuk Borhan Aman Shah (dua dari kiri) dan Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail (kiri sekali) melawat reruai yang turut disediakan dalam Program Pelancongan Gastronomi (Pelancongan Berasaskan Makanan) di Homestay Banghuris, Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek Selangor.
YB Datuk Borhan ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Pengerusi Homestay Negeri Selangor merangkap Penyelaras Homestay Banghuris, Haji Basir Wagiman (tiga dari kiri) bergambar bersama barisan tetamu.
Dato’ Haji Kamarudin ketika menyampaikan ucapan.
Orang ramai mengambil peluang membeli buah-buahan tempatan yang dijual.
Nasi Ambeng yang telah diisytiharkan dan diwartakan sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor menjadi antara tarikan utama program.
Persembahan tarian Jo’oh kepada pengunjung.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease