ANGKASA 16
NOVEMBER 2024
Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 ANGKASA Teruskan Agenda Penghijauan Malaysia
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad ketika Pelancaran Penjenamaan Titian Silara Sempena Karnival Penghijauan Malaysia dan Simfoni Hutan Hujan Tahun 2024 (KL Green Symphony 2024) bertempat di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) pada 19 Oktober 2024.
Oleh NORLELA ABD. GHANI
ANGKASA terus komited menyokong agenda Penghijauan Negara dengan memperluas program kelestarian alam sekitar sebagai meraikan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025. Inisiatif tersebut dibuat bagi memperlihatkan impak berterusan koperasi dalam memacu pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, prinsip koperasi perlu disokong dan dikembangkan menerusi pelbagai platform termasuk program kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang. Antara program tanggungjawab sosial koperasi CoopCare yang dirangka oleh ANGKASA termasuklah inisiatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim. “ANGKASA tidak hanya fokus pada aktiviti penanaman pokok dalam menyokong agenda penghijauan Malaysia, malah juga memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar menerusi Bengkel Training of Trainers (ToT) Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok untuk meningkatkan kesedaran dua juta anggota koperasi sekolah mengenai perubahan iklim.” “ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara akan meneruskan inisiatif ini dengan meningkatkan penglibatan koperasi dalam kempen kesedaran Koperasi Prihatin Sejuta Pokok di peringkat nasional dan kempen Go Green di peringkat antarabangsa bagi meraikan Tahun Koperasi Antarabangsa bertemakan Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat yang akan disambut pada tahun 2025”, jelas beliau. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata demikian ketika
menghadiri Majlis Perasmian Karnival Penghijauan Malaysia dan Simfoni Hutan Hujan Tahun 2024 ( KL Green Symphony 2024 ) pada 19 Oktober 2024 di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL). Perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad. ANGKASA merupakan rakan strategik penganjuran karnival yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan menerusi sumbangan pencahayaan kekal untuk “Canopy Night Walk” yang julung kalinya diperkenalkan di TERKL sempena karnival ini. Taman ini juga akan menjadi antara salah satu destinasi tarikan dalam program yang akan dilaksanakan oleh ANGKASA sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyampaikan cenderamata kepada YB Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengunjungi reruai ANGKASA. Turut sama ialah Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease