INFO SEMASA 8
NOVEMBER 2024
MyANGKASA Dialisis Teroka Inovasi Baharu Rawatan Buah Pinggang di Jepun
Delegasi MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd. (MDSB) yang diketuai Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah (lima dari kanan) bergambar bersama Pengurus Besar NIPRO Corporation, Mr. Norihiko Goto (lima dari kiri) di ibu pejabat NIPRO Corporation di Osaka, Jepun. Turut sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah MDSB, Haji Mansor Ab. Rahman (empat dari kanan) dan Pengurus Besar Nipro Malaysia Sdn. Bhd., Mr. Jason Ong (kiri sekali).
Oleh NADIAH KAMARUDIN
Program lawatan MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd. (MDSB) ke Jepun bagi meneroka inovasi baharu dalam rawatan dialisis disifatkan sebagai sangat bermanfaat sekali gus mengukuhkan kerjasama dalam teknologi perubatan antara kedua negara. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, selain mampu meningkatkan kemudahan dialisis di Malaysia, lawatan tersebut juga bertujuan untuk melihat secara langsung proses pembuatan mesin dialisis di negara tersebut di samping membincangkan peluang kerjasama bersama NIPRO Corporation, sebuah syarikat multinasional Jepun yang terlibat dalam pengeluaran peralatan perubatan, farmaseutikal dan ubat-ubatan regeneratif. Turut sama dalam lawatan selama lima hari bermula 21 Oktober 2024 itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah MDSB, Haji Mansor Ab. Rahman, barisan Ahli Lembaga MDSB terdiri daripada Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh dan Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah, Penasihat MDSB merangkap Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin, Pengurus Besar MDSB, Encik Afrizal Ahmad serta Pengurus Besar Nipro Malaysia Sdn. Bhd., Mr. Jason Ong. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga berkata, hubungan diplomatik dan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara diharap dapat menyumbang kepada peningkatan kualiti rawatan dialisis di Malaysia. Dalam lawatan tersebut, delegasi berpeluang mengunjungi ibu pejabat NIPRO Corporation di Osaka di mana ketibaan mereka disambut oleh Pengurus Besarnya, Mr. Norihiko Goto.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah mencuba teknik suntikan pada model tapak fistula pesakit.
Delegasi MDSB bergambar di hadapan bangunan ibu pejabat NIPRO Corporation.
Selain menjadi pembekal global peralatan perubatan berkualiti termasuk di Malaysia, NIPRO juga mempunyai reputasi kukuh dalam industri kesihatan terutama dalam menyediakan produk yang berkaitan dengan rawatan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis. Delegasi juga turut mengadakan lawatan ke kilang NIPRO Odate di Wilayah Akita yang terletak di utara Jepun untuk meninjau peralatan perubatan yang dihasilkan termasuk dialyzer yang digunakan dalam proses dialisis bagi membersihkan darah pesakit mengalami kegagalan buah pinggang. Di samping itu, mereka juga dibawa melawat ke Kansai Medical University Kori Hospital untuk melihat secara langsung operasi rawatan dialisis di Jepun serta Institute for Medical Practice (iMEP) yang direka untuk melatih profesional perubatan dalam suasana klinikal yang realisitik. Latihan yang dijalankan di iMep memberi gambaran mendalam kepada delegasi tentang potensi program latihan klinikal bagi membentuk lebih ramai pakar dialisis tempatan yang berkemahiran tinggi.
Delegasi bergambar ketika mengadakan lawatan ke Institute for Medical Practice (iMEP).
Pegawai perubatan di iMEP memberikan penerangan kepada delegasi.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease