SEKAPUR SIRIH Datuk Nordin Salleh
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Assalamualaikum dan salam sejahtera
B arisan kepimpinan koperasi yang dipilih melalui pemilihan bukan sahaja dianggap sebagai pengiktirafan terhadap kebolehan dan keyakinan, malah menjadi nadi kepada harapan yang disandarkan oleh setiap anggota. Pemilihan pemimpin koperasi yang berlandaskan kepada tahap prestasi dan pencapaian sangat dituntut bagi memastikan konsistensi dalam tugas serta berupaya mencapai sasaran kerja seperti yang ditetapkan.
Di sinilah letaknya tanggungjawab kita sebagai perwakilan untuk menentukan, berbincang dan memberi penilaian yang seadil-adilnya terhadap pemimpin yang berpotensi berlandaskan kepada hak dan peranan kita selaku perwakilan. Namun kita juga perlu akui bahawa sebarang bentuk pertimbangan yang hendak diletak dan disandarkan ke bahu pemimpin tidak akan memberi kesan sekiranya setiap usaha yang mereka cuba jalankan tidak disokong dan dibantu. Semangat kerjasama yang sememangnya menjadi amalan berkoperasi haruslah bergerak seiring dan sepakat baik dari peringkat pemimpin sehinggalah anggota. Justeru, kerjasama dan hubungan yang baik sesama anggota dengan barisan kepimpinan koperasi amat perlu bagi membantu secara bersama merealisasikan matlamat dan pencapaian koperasi. Tingkatkan usaha dan cari jalan penyelesaian sekiranya terpaksa berhadapan dengan kekangan atau cabaran yang membataskan hala tuju sesebuah tadbir urus. Setiap warga koperasi juga harus memberi sokongan yang lebih padu terhadap produk dan perkhidmatan koperasi selain membantu mempromosikannya kepada masyarakat. Dengan cara ini, kita yakin koperasi akan dapat dimartabatkan sekali gus memberi impak kepada kekuatan dan kecemerlangan tadbir urus kepimpinan koperasi.
Pada kesempatan ini, saya mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan. Mari kita bersama berdoa dan menaruh harapan, semoga gerakan koperasi di Malaysia akan terus melakar kejayaan dan mampu merekodkan pencapaian terbaik demi masa depan anggota, masyarakat dan negara. Terima kasih.
DATUK NORDIN BIN SALLEH
4
PELANCAR Edisi Khas
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease