WADAH PELANCAR EDISI JANUARI 2020

ANGKASA 10 Tingkat Kredibiliti Pengamal Bidang Perwarisan

Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

» Datuk Haji Mohamad Ali Hasan semasa memberikan ucapan.

P restasi MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) dalam perkhidmatan pentadbiran pusaka, pengamanahan individu dan pengamanahan korporat ternyata telah memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya dalam usaha satu-satunya syarikat amanah milik sektor koperasi. Kejayaan ini terbukti melalui pencapaian MAAB sehingga November 2019 merekodkan wasiat yang didaftarkan melalui MAAB telah pun mencapai angka 90,000 wasiat, manakala rakan strategik yang berdaftar termasuklah institusi bank (98 buah); koperasi (17 buah) dan agensi (35 buah). Menurut Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah, MAAB masih kekal sebagai pemain industri produk penulisan wasiat pada kadar bayaran terendah di pasaran berbanding syarikat amanah yang lain. Katanya, inilah semangat dan konsep koperasi yang diterapkan di MAAB bagi membantu pelanggan, bukan kepada anggota koperasi malah orang ramai dalam menyelesaikan permasalahan harta pusaka. “ANGKASA melihat aliran kerjasama dengan syarikat pemegang amanah oleh syarikat- syarikat yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai ini sebagai sesuatu yang amat baik dan menjadi contoh kepada syarikat-syarikat perkhidmatan yang lain,” ujarnya. Beliau berkata, kerjasama strategik antara MAAB dan Islamic Banking & Finance Institute

Malaysia (IBFIM) yang ditandatangani pada 12 April April 2018 lalu berjaya merealisasikan Modul Perancangan Dan Pentadbiran Perwarisan untuk kegunaan pengamal bidang perwarisan. Ujarnya, modul yang ditawarkan dalam kursus ini menyediakan kursus berkaitan perkara asas mengenai ciri-ciri produk sehinggalah kepada proses pelaksanaan dan penghasilan di samping pendedahan kes-kes sebenar yang diharap dapat memberi kefahaman dalam kalangan pengamal dan perunding institusi kewangan. “Pengisian modul ini menerangkan secara terperinci tentang keseluruhan produk bermula dengan sifat dan ciri-ciri produk sehinggalah kepada proses pelaksanaan dan penghasilan kepada kira-kira 1,500 wakil dari saluran pemasaran bagi memperkasakan lagi pengetahuan dan kemahiran kumpulan ini khususnya dalam pengurusan perwarisan dan kewangan Islam. Beliau menyatakan, kerjasama strategik ini adalah langkah tepat ke arah memajukan strategi pembangunan perniagaan kedua-dua pihak khususnya dalam meningkatkan pemahaman orang ramai terutama agen jualan produk penulisan wasiat dan penyelesaian terhadap masalah perwarisan yang tertunggak. Kerjasama pembangunan modul ini adalah berasaskan Islam iaitu Islamic Legacy Management (ILM) yang lebih teratur dan tersusun yang menawarkan program pensijilan yang direalisasikan menerusi tanda aras kerangka kelayakan IBFIM serta diberikan perakuan akreditasi program oleh

agensi akreditasi kewangan bagi memastikan kualiti pensijilannya diperakui. Dato’ Abdul Fattah menyatakan inisiatif pelaksanaan kursus menerusi modul pembangunan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran pusaka, pengamanahan individu dan pengamanahan korporat sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap usaha satu-satunya syarikat amanah milik sektor koperasi ini. Katanya, walaupun masih baru dalam industri pengamanahan, kepercayaan semua pihak terhadap jenama ANGKASA itu berjaya menjalin kerjasama perniagaan dengan pelbagai institusi bank komersil di negara ini, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan koperasi-koperasi. Sementara itu, Naib Presiden ANGKASA yang juga merangkap Pengerusi MAAB, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan menjelaskan, bagi memperkasakan kerjasama strategik yang lebih berkesan antara MAAB dan rakan strategik MAAB, diharap kedua-dua pihak dapat menyokong penganjuran Kursus Pengurusan Perwarisan Islam secara berkala. Antara manfaat kursus tersebut adalah seperti memudahkan pihak Syariah dan Sivil untuk menguatkuasa dan memperkasakan undang-undang perwarisan, meningkatkan kredibiliti pengamal bidang perwarisan dan membuka ruang perniagaan dalam bidang perwarisan kepada institusi serta usahawan persendirian.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease