12 RENCANA
Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Tangani Rasuah Dalam Organisasi
Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ P erdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 pada 29 Januari 2019 lalu sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti. Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’ , NACP merupakan pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan bermula Januari 2019 hingga Disember 2023. Pelaksanaan pelan ini dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain. Pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang. Program kesedaran anti rasuah dalam kalangan anggota koperasi yang kini sedang dilaksanakan ANGKASA akan memfokuskan kepada pengukuhan integriti, ketelusan, serta prosedur perniagaan koperasi bagi mewujudkan persekitaran aktiviti koperasi yang berintegriti dan bebas rasuah. Ia merupakan satu inisiatif Badan Induk ini kepada koperasi melalui pelaksanaan Bengkel Modul Integriti Koperasi yang telah bermula pada tahun ini. Pelaksanaan program ini meliputi pendedahan terhadap tadbir urus koperasi, liabiliti korporat, pencegahan rasuah dan kepentingannya dalam koperasi. Inisiatif ini amat bertepatan sekali sebagai peringatan kepada semua penggerak dalam gerakan koperasi untuk mengamalkan budaya integriti dan akauntabiliti tinggi dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan. Selain menjadi pemangkin ke arah memulakan dan meneruskan aktiviti kepada pembasmian rasuah ke koperasi, inisiatif ini juga menjadi simbol pengamalan nilai integriti dalam diri setiap anggota yang menjadi kunci kejayaan sesebuah koperasi. Bagi memperkukuhkan integriti dalam organisasi, kerjasama strategik yang diwujudkan oleh ANGKASA dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini membolehkan pendedahan anti rasuah ke koperasi
dengan sistem yang bersistematik dalam menangani gejala rasuah dalam koperasi. Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) merupakan satu inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dirangka bagi menangani isu dalaman dalam organisasi berkaitan kelemahan integriti, tadbir urus dan anti rasuah. Sehubungan itu, ANGKASA mengambil pendekatan proaktif dan berkesan dengan memberi pendedahan ilmu dan perkongsian bermanfaat mengenai OACP dalam kalangan anggota koperasi menerusi penganjuran bengkel Modul Integriti Koperasi yang dijalankan di seluruh negara. OACP dibentuk untuk memperkukuhkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan agensi-agensi bagi membangun pelan strategi anti rasuah dalaman organisasi sekali gus memastikan Malaysia bebas daripada gejala rasuah. Selain itu, ia juga bermatlamat meningkatkan kesedaran, komitmen serta kerjasama pelbagai sektor dalam usaha meningkatkan integriti supaya ia menjadi budaya dalam masyarakat serta diamalkan dalam semua bidang.
Dalam konteks sektor koperasi, diharap dengan pelaksanaan pelan ini, ia dapat dijadikan rujukan lengkap kepada semua warga organisasi dan pengurusan tertinggi sehingga ke peringkat bawah supaya setiap individu dapat memainkan peranan dalam melaksanakan pelan tindakan bagi melahirkan organisasi bebas rasuah dan berintegriti. Bagi memastikan gerakan koperasi ‘Sifar Rasuah’, ANGKASA meneruskan komitmennya dengan memanfaatkan kerjasama strategik ini dengan memberi kesedaran kepada anggota koperasi untuk mengamalkan budaya integriti di samping berpegang kepada nilai-nilai koperasi yang menjadi tunjang kepada sektor koperasi. Usaha ini amat bertepatan sekali dengan kerjasama yang dijalinkan bersama SPRM yang antara lain memberi platform terbaik buat SPRM menembusi sektor koperasi dalam memberikan ilmu dan bimbingan berkaitan bahaya rasuah.
Sumber: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) & Pelan Antirasuah Nasional (NACP)
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease