ANGKASA 4 Tingkatkan Kualiti Koperasi Oleh : MOHD ZAKUAN AZMI
» Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek mengetuai sesi perbincangan antara MEDAC dengan ANGKASA.
K operasi perlu mempertingkatkan daya saing dan kualiti dalam tadbir urus korporatnya supaya mampu memberi sumbangan secara lebih berkesan kepada anggotanya. Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek berkata, koperasi harus berfungsi sebagai sebuah ‘Lifetime Corporation’ yang sentiasa konsisten dalam menjana pembangunan sosio ekonomi anggota dan masyarakat. Katanya, selain mengklusterkan koperasi mengikut kategori perniagaan dan menilai tahap keupayaannya, usaha untuk mentransformasi gerakan koperasi juga harus dilihat dari pelbagai sudut seperti penglibatan golongan profesional. Menurut beliau, sehingga Disember 2019, sebanyak 14,625 koperasi telah berdaftar di Malaysia dengan keanggotaan seramai 6.05 juta namun GDP (Gross Domestic Product) bagi sektor koperasi masih lagi di bawah paras tiga peratus. “Kita tidak mahu melihat koperasi sebagai ‘sunset organisation’ kerana faktor pengurusan yang tidak sempurna dan masalah-masalah lain yang masih gagal ditangani dengan sebaiknya. Justeru itu, ANGKASA perlu membantu kerajaan dengan melihat sebarang permasalahan serta isu yang menyekat kemajuan sektor perniagaan koperasi dan menanganinya dengan segera,” ujar beliau. Dato’ Sri Haji Mohammad bercakap sewaktu mengadakan perbincangan dua hala antara MEDAC dan ANGKASA di Putrajaya. Dalam perbincangan yang turut disertai oleh dua Timbalan KSU iaitu Datuk Haji Zamri Salleh dan Dato’ Mohammad Radhi
Abdul Razak antara lainnya turut membincangkan beberapa cadangan dan juga pandangan yang boleh digerakkan secara bersama antara kementerian, SKM dan ANGKASA dalam membantu membangun serta memperkasa sektor koperasi. Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah yang mengetuai delegasi ANGKASA menyatakan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan MEDAC untuk menjalin kerjasama lebih erat bersama ANGKASA dalam usaha untuk menyerlahkan lagi peranan dan sumbangan gerakan koperasi. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya turut menyampaikan taklimat
berkaitan fungsi dan peranan ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi negara. Turut terlibat dalam sesi perbincangan tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Naib Pengerusi Eksekutif SKM, Haji Zazali Haron; Setiausaha Bahagian (SUB) MEDAC, Dr. Hajah Salmah Ishak; Timbalan-Timbalan SUB iaitu Puan June Suhaila Saran dan Encik Ibrahim Mohd Yusof; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perniagaan Koperasi ANGKASA, Datuk Haji Abdullah Jusoh.
» Dato’ Abdul Fattah Abdullah membincangkan sesuatu bersama Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease