4
WAWANCARA
Kejayaan dan prestasi cemerlang Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) menceburi kepelbagaian bidang perniagaan berupaya memberi impak yang lebih besar kepada peningkatan ekonomi koperasi ahli dan anggota. Dengan kepelbagaian bidang keberhasilan yang telah meraih kejayaan memberangsangkan, ia sekaligus telah berjaya menjadi penyumbang bermakna kepada pembangunan gerakan koperasi di negara ini. Tonggak kejayaan KPF selama ini adalah faktor kesetiaan peneroka, barisan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang komited serta kekuatan sistem pengurusan KPF yang berkaliber dan disegani. Ikuti temu bual wakil PELANCAR bersama Pengerusi KPF, Dato’ Amir Hamdan Yusof mengenai pencapaian, sasaran, strategi perniagaan dan harapan beliau terhadap kelestarian kecemerlangan KPF pada masa hadapan. Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ Perniagaan KPF Simbol Kekuatan Peneroka
» Pengerusi KPF, Dato’ Amir Hamdan Yusof.
Bagaimana pencapaian yang diraih KPF sehingga kini? Sejak penubuhan KPF pada 1 Julai 1980 iaitu 40 tahun yang lalu, kejayaan paling besar ialah KPF berjaya menjadikan semua peneroka/koperasi dan hampir keseluruhan warga kerja Kumpulan FELDA menjadi anggota KPF seramai 257,728 (2019) serta berjaya mengumpulkan modal syer berjumlah RM2.34 bilion (akhir tahun 2019). Kumpulan peneroka tersebut merupakan 88 peratus daripada jumlah anggota menguasai 74 peratus daripada modal syer tersebut. Jumlah dividen terbesar yang pernah dibayar oleh KPF (termasuk dividen khas) ialah pada tahun 2013 berjumlah RM378.9 juta. Selama 37 tahun (1981-2018), KPF berjaya mengekalkan bayaran dividen yang baik kepada anggotanya dengan purata 13.7 peratus dengan merekodkan dividen tertinggi sebanyak 18 peratus. Di samping itu, jumlah pelaburan KPF juga meningkat sehingga RM4.1 bilion pada akhir tahun 2019. Apakah bentuk-bentuk pelaburan dan perniagaan yang dijayakan oleh KPF? bidang keberhasilan utama dalam portfolio pelaburan dan perniagaannya berjumlah RM4.1 bilion merangkumi aktiviti KPF mempunyai lima perladangan iaitu sawit dan BTS, hartanah, pelaburan korporat, pasaran modal dan perkhidmatan kewangan iaitu Ar-Rahnu dan pembiayaan. Pelaburan KPF terus berkembang dengan menceburi sektor Perladangan Sawit di Samarahan (15,366.76 hektar) dan Gua Musang (5,334.1 hektar) bernilai RM1.33
bilion, Pelaburan Hartanah (termasuk Hotel Tenera di Bangi) bernilai RM1.26 bilion dan Perkhidmatan Kewangan (Ar Rahn sebanyak 36 cawangan dan pembiayaan) bernilai RM175.52 juta selain Pelaburan Korporat dan Pasaran Modal. Sebagai peneraju dalam Gerakan Koperasi Negara, bagaimana KPF melihat sasaran pada masa hadapan khususnya dalam bidang pelaburan? KPF telah menyediakan Pelan Induk Rancangan Kerja Lima Tahun (2021-2025) dengan menyasarkan perolehan RM1 bilion menjelang tahun 2025. Menerusinya, beberapa bidang baharu keberhasilan dan pendekatan yang berdaya maju telah dikenalpasti seperti pembekalan anak benih sawit; pemasaran produk dan perkhidmatan secara virtual mart; pembelian buah kelapa sawit daripada peneroka; perkhidmatan urus bangunan; perniagaan jual beli emas dan perkhidmatan urus ladang serta penternakan komersil. Apakah perancangan jangka panjang KPF dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar dalam merencana strategi perniagaan berimpak tinggi bagi memastikan KPF terus berdaya saing? Rancangan Kerja Lima Tahun KPF menyediakan pelan strategik menjurus kepada norma baharu dalam penyediaan perkhidmatan dan produk termasuk digitalisasi dalam perniagaan bagi merealisasikan perolehan RM1 bilion menjelang tahun 2025. KPF memberi fokus kepada bidang- bidang keberhasilan atau aktiviti perniagaan yang boleh menjana pendapatan yang baik dalam tempoh jangka pendek dan sederhana serta Economic Proof . KPF juga turut menjalin
usahasama strategik dengan gerakan koperasi atau pemain industri yang sesuai dalam usaha meneroka pelaburan yang berskala besar bagi meminimakan risiko dan mendapatkan kepakaran luar. Apakah harapan yang ingin Dato’ sampaikan demi kemajuan KPF, anggota dan semua warga FELDA secara keseluruhannya? Saya menaruh keyakinan dan harapan agar KPF mampu bangun semula dan mengembalikan kegemilangannya dengan mengekalkan amalan integriti yang ada, mengembalikan kepercayaan dan keyakinan anggota di samping mencari keberkatan dalam setiap aktiviti yang diceburinya. Dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, KPF perlu mengatur strategi untuk bergerak bersama anggota untuk membantu menambah pendapatan bulanan mereka selain pulangan dividen tahunan. Anggota akan menjadi sebahagian daripada rakan kongsi atau rakan niaga KPF dengan menyediakan kemudahan pembiayaan modal kerja, peluang perniagaan, peluang perkerjaan, pemasaran dan pendidikan. Kini, usaha menjadikan koperasi-koperasi rancangan sebagai agen pembelian BKS, kedai koperasi menjadi pengedar/peruncit produk keluaran KPF Trading & Niaga telah pun bermula secara berperingkat. Anggota juga boleh menjadi pembekal barangan kepada Kedai Serbaneka/Mesra di semua rangkaian Stesen Petrol KPF Niaga. KPF melihat pendekatan ini mampu menjana pendapatan tambahan kepada anggota di samping melahirkan anggota sebagai usahawan.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease