SEKTOR PERLADANGAN ANGKASA
ANGKASA Perjuang Minyak Sawit Malaysia Isu minyak sawit antara negara-negara pengeluar sawit seperti Malaysia dan Indonesia dengan Kesatuan Eropah (EU) sudah berlanjutan begitu lama. Pelbagai bantahan telah diterima oleh EU setelah mengumumkan untuk menyekat penggunaan minyak sawit sebagai biofuel bermula 2021. Bantahan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila EU menangguhkan sekatan tersebut sehingga tahun 2030. Walaupun penangguhan tersebut disambut baik oleh kerajaan Malaysia, EU ternyata tidak berganjak daripada pelan asalnya. Statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga menunjukkan terdapat penurunan permintaan minyak sawit dari Malaysia oleh negara-negara EU. Dakwaan EU bahawa minyak sawit merupakan penyebab utama penebangan hutan secara berleluasa adalah tidak benar sama sekali. Malah, Union of Concerned Scientiests, sebuah organisasi advokasi ilmu bukan bermotifkan keuntungan di Amerika Syarikat menyatakan bahawa dari lima bilion hektar tanah pertanian di seluruh dunia, 71.2 peratus digunakan untuk membuka tanah bagi dijadikan padang rumput bagi lembu sapi sedangkan penanaman kelapa sawit hanya menggunakan 0.31 peratus tanah pertanian global. Matlamat untuk bergantung sepenuhnya terhadap minyak sayur juga dilihat sebagai penyelesaian yang tidak praktikal kerana jumlah tanah yang lebih besar perlu digunakan. Jika dibandingkan jumlah kuantiti minyak yang dihasilkan antara kelapa sawit dengan tanaman lain, kelapa sawit menghasilkan empat hingga sepuluh kali lebih banyak minyak per unit kawasan tanaman. Kerajaan melalui Kementerian Industri Utama dan agensi-agensi di bawahnya serta agensi-agensi pengeluar sawit berusaha memperkasakan lagi mesej-mesej mengenai minyak sawit melalui apa jua kempen dan program yang dijalankan. Mesej “kemampanan” kini menjadi mesej utama yang sering disampaikan kepada pengguna selain mesej “kelebihan menggunakan minyak sawit”. Setiap mesej mesti disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat serta disokong oleh sains dan fakta. Tugas ini bukan lagi hanya digalas oleh agensi-agensi yang berkenaan, tetapi juga setiap orang yang terlibat dalam rantaian nilai pengeluaran.
DATO’ HAJI KAMARUDIN ISMAIL Timbalan Presiden ANGKASA Merangkap Pengerusi Sektor Perladangan ANGKASA
26 PELANCAR Edisi Khas MACCOPS 2019
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease