KKM Disaran Terokai Pasaran Produk Halal Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ
Umum mengetahui bahawa produk halal memiliki prospek yang cukup besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa. Kesedaran dan keyakinan masyarakat khususnya di peringkat antarabangsa cukup tinggi terhadap produk halal yang dikeluarkan oleh Malaysia dan kelebihan itu sewajarnya menjadi pencetus kepada sektor koperasi untuk terus mengembangkan perniagaan yang diusahakan. Nilai pasaran produk makanan halal dunia dijangka mencecah sehingga RM2 trilion setahun dan RM45 bilion untuk pasaran Malaysia. Kelebihan Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang mengeluarkan sijil halal diiktiraf antarabangsa yang seharusnya dimanfaatkan oleh KKM secara berperingkat-peringkat. Produk halal kita juga terbukti berkualiti tinggi serta memiliki harga yang kompetitif. Jika dilihat dari segi nilai dagangan, Malaysia tersenarai di tangga ke-17 memiliki banyak rakan dagangan dan mempunyai kelebihan tersendiri dalam pemasaran produk halal. Selain itu, struktur pasaran halal yang dinamik dan terbuka juga menjadi asas kepada pemantapan dalam industri halal. Produk halal boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama, sedangkan produk tidak halal terhad untuk keperluan pengguna bukan Islam sahaja. KKM yang berkemampuan juga digalakkan supaya turut menceburi bidang berskala besar secara berkelompok, termasuklah penglibatan dalam usaha membangunkan tanah-tanah terbiar di kawasan kariah menerusi aktiviti pertanian, perladangan, pertanian, peruncitan, telekomunikasi, pemasaran, pembekalan, pengangkutan dan sebagainya. Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan perolehan koperasi dan pada masa yang sama berupaya meningkatkan taraf sosio ekonomi anggota. Koperasi Kariah Masjid (KKM) digalak supaya menceburi pasaran produk halal dan memanfaatkan peluang tersebut untuk kepentingan anggota dan ummah secara keseluruhannya. Penglibatan KKM dalam penerokaan pasaran produk halal ini dilihat sebagai langkah bijak dan tepat serta bersesuaian dengan platform KKM itu sendiri sebagai koperasi komuniti.
Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa Naib Presiden ANGKASA
Disember 2018 PELANCAR
29
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease