PRAKATA Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah
Presiden ANGKASA
Assalamualaikum dan salam sejahtera
Selamat datang ke ANGKASA. S ebagai Badan Apeks Gerakan Koperasi di Malaysia, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad atau ANGKASA mempunyai peranan dan tangungjawab yang besar bagi membantu koperasi ahli membangun dan merangsang perniagaan mereka. Usaha tersebut yang telah dilakar sejak dari awal penubuhannya pada tahun 1971, terus bergerak merentasi zaman dan sehingga kini, usaha murni yang telah dan sedang dijalankan telah banyak membantu merancakkan aktiviti ekonomi sektor-sektor perniagaan koperasi sekaligus memanfaatkan lebih 10 ribu koperasi yang bernaung di bawah ANGKASA. Kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan oleh barisan kepimpinan serta warga kerja ANGKASA terus ditambah baik menerusi pelbagai inisiatif selaras dengan pembangunan sosioekonomi negara. Banyak pembaharuan telah dibuat terutamanya dalam aspek pengurusan perniagaan melibatkan penggunaan inovasi baharu dan teknologi yang lebih efektif serta menjimatkan. Seiring dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang dirangka untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan menjelang tahun 2030, ANGKASA mahu memastikan salah satu daripada lima objektif dasarnya iaitu ‘mempertingkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi’ tercapai menerusi usaha dan kerjasama ekonomi yang lebih komprehensif dan menyeluruh. Usaha tersebut juga bertepatan dengan strategi yang digariskan oleh kerangka DKN itu sendiri melalui Teras Strategik ke-3 iaitu ‘Merangsang Pembangunan Keusahawanan Bersepadu dan Holistik’ yang mahu koperasi berperanan sebagai pemacu kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif. Justeru, penglibatan ekonomi yang digarap melalui kerjasama secara langsung dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk badan-badan apeks koperasi dari serata dunia mampu merubah landskap ekonomi koperasi sekaligus memberi impak positif kepada masa depan gerakan koperasi Malaysia dalam jangka masa panjang. Terbitan ini diharap dapat memberi sedikit sebanyak gambaran kepada koperasi terhadap kelebihan menjadi ahli ANGKASA. Kemudahan serta faedah yang disediakan melalui cabang-cabang perkhidmatan, sektor perniagaan dan jaringan ANGKASA ini juga diharap dapat membantu menyemarakkan pencapaian pengurusan dan berupaya melancarkan aktiviti perniagaan koperasi.
DATO’ ABDUL FATTAH HAJI ABDULLAH
Edisi Khas PELANCAR
1
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease