Oleh : RAHMAT MOHD DID
ANGKASA Sasar 20 Nurseri Sawit Dimiliki Koperasi Menjelang 2020
Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Berhad yang dilantik oleh ANGKASA sebagai mentor di bawah Program Mentor Mentee Penubuhan Nurseri Sawit telah menyerahkan Projek Nurseri Sawit kepada Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Kampung Rasau Slim River Berhad setelah memberikan khidmat nasihat selama satu tahun baru-baru ini. Naib Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Perladangan, Pertanian dan Industri Asas Tani ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail berkata, Dasar Koperasi Negara (2011-2020) menetapkan penubuhan 10 buah nurseri baharu menjelang 2020. “Buat masa ini sebanyak 10 buah koperasi yang menjalankan perniagaan nurseri sawit di Malaysia. Dengan adanya program seperti ini, ANGKASA berharap bilangan tersebut mampu mencapai jumlah 20 buah menjelang tahun 2020,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Nurseri Sawit Kepada Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Kampung Rasau Slim River Berhad di Slim River, Perak. Turut hadir ialah Pengurus Besar, Pengurusan Institusi FELCRA Berhad, Haji Zainul Anzaid Haji Seman; Pengerusi Koperasi Peserta-Peserta Rancangan FELCRA Kampung Rasau Slim River Berhad, Encik Mohd Shafie Hamid; Pengurus Kanan FELCRA Berhad, Encik Mohd Shauki Saad; Pengurus FELCRA Kawasan Slim River, Haji Nasri Mood dan Pengurus Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Berhad, Haji Madzaki Ghani. Menurut Dato’ Haji Kamarudin lagi, program tersebut dapat memberi impak pendapatan yang berterusan kepada koperasi sekaligus membantu menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Program ini juga bertujuan untuk memastikan benih sawit yang dikeluarkan datang daripada sumber yang berkualiti dan terjamin bagi tujuan penanaman semula pokok sawit yang telah matang. Sementara itu, Haji Zainul Anzaid dalam ucapannya memberikan sokongan penuh kepada segala usaha yang dilakukan oleh koperasi dan berharap nama koperasi akan disenaraikan antara 100 Koperasi Terbaik di Malaysia pada masa hadapan. Encik Mohd Shafie pula dalam ucapannya berkata, untuk menyertai program ini, koperasi perlu menyediakan sekurang-kurangnya 1.5 hektar tanah untuk 12,500 pokok. Pihaknya juga turut merancang untuk membeli sebidang tanah seluas empat hektar yang terletak kira-kira 200 meter dari tapak sekarang untuk mengembangkan perniagaan koperasi. Katanya, dengan kerjasama FELCRA, tiada masalah untuk Koperasi Peserta- Peserta Rancangan FELCRA Kampung Rasau Slim River Berhad memasarkan produk mereka kerana sudah mengikat perjanjian pembelian semua dengan pihak FELCRA Agro Industri Sdn Bhd.
20 PELANCAR Februari 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease