Wadah PELANCAR Edisi Februari 2018

Oleh : NOR AZAH ABD. AZIZ

BERSAMA BINA STRATEGI KUKUHKAN KOPERASI

» Haji Mohamad Azmi Omaruddin menyerahkan Sijil Keanggotaan KOPSYA kepada Pengerusi KOPSA, Datuk Md Rais Mansor.

Penubuhan Koperasi Alumni SMK Dato’ Sagor Langkap Berhad (KOPSA) nyata membuka peluang kepada anggota yang terlibat untuk bersama-sama membina strategi kukuh bagi mencapai matlamat penubuhannya.

Pengerusinya merangkap Presiden Persatuan Alumni SMKDS Langkap, Datuk Md Rais Mansor berkata, cadangan menubuhkan KOPSA dibuat selepas menerima cetusan idea bekas-bekas pelajar sekolah terbabit yang mahukan sebuah organisasi bagi melengkapi keharmonian anggota selain membantu menjana potensi ekonomi menerusi penubuhan koperasi. “Koperasi dilihat mampu menjana pendapatan alumni menerusi perniagaan dan diharap dapat mencapai kejayaan selain menjadi contoh kepada koperasi lain,” ujar beliau. Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Taklimat Bersama ANGKASA Negeri Perak, Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) dan SKM Hilir Perak yang dihadiri seramai 40 peserta, bertempat di Dewan SMK Dato Sagor, Langkap, Perak, baru-baru ini. Tambahnya, KOPSA didaftarkan dengan SKM pada 16 Jun 2017, dengan menceburi tiga bidang iaitu sektor

pemborongan dan peruncitan, sektor perladangan dan pertanian serta sektor pembinaan. Bagi memastikan kejayaan KOPSA yang dianggotai seramai 116 anggota itu, tiga pelan telah dirancang iaitu pelan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang. Bagi perancangan jangka masa pendek, KOPSA akan membuka kedai serbaneka di Langkap yang menjual barangan impot dari Negara China seperti baju, kasut dan lain-lain keperluan harian. Pelan jangkamasa sederhana lebih memberi tumpuan kepada aspek meneguhkan KOPSA menerusi pembangunan modal insan anggota dan keluarga anggota. Sementara pelan jangka masa panjang pula lebih kepada mengukuhkan kedudukan kewangan koperasi. Antaranya seperti membangunkan tanah-tanah terbiar di kawasan Langkap. Harapan beliau agar perniagaan tersebut mendapat sambutan daripada anggota dan penduduk daerah Langkap. Sementara itu, Pengetua SMKDS Langkap, merangkap Penasihat Persatuan Alumni SMKDS Langkap, Haji Khairul Anuar Shahaludin berkata, apabila sesebuah koperasi maju, pasti akan lebih ramai bekas pelajar akan menganggotai koperasi. Menurut beliau, keuntungan yang diperoleh daripada koperasi juga akan dikembalikan kepada pelajar baru dan generasi masa hadapan dalam pelbagai bentuk sumbangan, hasil kerjasama pihak sekolah dan KOPSA. Majlis penutup telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah SKM Wilayah Manjung, Cik Nurul Hazwani Hamzah.

36 PELANCAR Februari 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease