Pada masa kini, ANGKASA telah memulakan inisiatif menerusi Cooperative Empowerment Project (CEP) atau Projek Memperkasakan Koperasi yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Ekonomi Strategik ANGKASA (Strategic Economy Masterplan - SEM). Sebanyak lapan sektor atau bidang ekonomi telah dibangunkan secara kluster berdasarkan kekuatan koperasi sedia ada iaitu Sektor Pembangunan Perkhidmatan Kewangan, Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan, Sektor Pertanian dan Industri Tani, Sektor Peladangan, Sektor Pembangunan Hartanah, Sektor Pembangunan Inovasi dan Teknologi dan Sektor Komuniti. Semua perancangan ini adalah bersesuaian dengan dasar kerajaan yang mengutamakan rakyat yang kini terbeban dengan kos sara hidup. Melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kerajaan prihatin mahu membantu rakyat menangani harga barangan yang meningkat setiap tahun. ANGKASA diberi penghormatan sebagai wakil gerakan koperasi untuk mengganggotai Majlis Tindakan tersebut memandangkan koperasi merupakan salah satu pemacu ekonomi rakyat di semua peringkat. Selain daripada itu, projek-projek yang dikenal pasti oleh ANGKASA juga menyokong kepada Rangka Kerja Keusahawanan Negara (NEF) yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan golongan B40. Ini penting bagi memastikan, wujudnya kelestarian pendapatan golongan B40 terutamanya anggota koperasi dalam sektor- sektor yang telah diwujudkan oleh ANGKASA. Sehubungan itu, perancangan pembangunan sumber manusia adalah amat penting untuk menjadi penggerak ekonomi koperasi dan negara menjelang tahun 2050. Satu pendekatan baru perlu dirangka supaya koperator muda dilonjakkan dan dilengkapi dengan ilmu keusahawan. Kejayaan bukan bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi kemahiran keusahawan juga perlu diterapkan bagi memastikan koperator muda mengurus koperasi mereka dengan baik dan pada masa yang sama menyediakan mereka untuk menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian. Dalam hubungan ini pewujudan ‘Universiti Keusahawanan Koperasi’ yang menawarkan pelbagai subjek berdasarkan pasaran ekonomi yang semakin kompleks perlu direalisasikan supaya menjadi pemangkin kepada pembangunan koperasi pada masa hadapan. Perkembangan ekonomi dunia pada masa hadapan adalah lebih kompleks dan memerlukan
satu pendekatan kreatif. Projek-projek yang dilaksanakan pada hari ini, mungkin tidak relevan pada tahun 2050 atau memerlukan kaedah lebih canggih yang menjimatkan masa, kos dan ruang. Perkembangan dalam bidang digital khususnya berkaitan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), teknologi 5G, Artificial Intelligent (AI), data raya dan sebagainya adalah satu revolusi teknologi yang tidak boleh diketepikan oleh koperasi. Mengikut pakar industri, Malaysia mengambil masa lima hingga 10 tahun untuk mencapai tahap matang dalam IR 4.0. Dalam tempoh ini, sektor koperasi perlu mempertingkatkan pengetahuan dan ilmu dalam bidang ini supaya kita tidak ketinggalan berbanding negara-negara lain. Syarikat antarabangsa yang melabur di Malaysia telah bersedia dengan revolusi ini melalui Enterprise Resource Planning (ERP) berkaitan data dan perisian. Menurut World Economic Forum (WEF), dianggarkan 65 peratus pelajar yang baru mendaftar ke sekolah rendah pada hari ini, akan bekerja di sektor pekerjaan yang masih belum dicipta lagi. Oleh itu, koperasi perlu mengambil peluang ini dengan menjalinkan kerjasama strategik perniagaan bersama syarikat-syarikat besar dan dalam masa sama mewujudkan perpindahan teknologi. Sebagai anggota ICA, ANGKASA perlu dilihat relevan diperingkat antarabangsa dalam membantu masyarakat Malaysia selaras dengan matlamat SDG. Negara-negara yang disenaraikan dalam WCM seperti Jerman, Peranchis, Belanda, China, India dan Korea merupakan negara yang telah membuktikan bahawa gerakan koperasi boleh memberikan sumbangan ekonomi yang besar dan berimpak tinggi. Inisiatif mewujudkan kerjasama Coop to Coop (C2C) di antara negara- negara ini perlu dipertingkat bagi membolehkan gerakan koperasi di Malaysia menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih berkesan. Kerjasama di antara koperasi merupakan konsep sejagat yang diguna pakai oleh semua koperasi di dunia. Peluang ini perlu diambil oleh koperasi anggota setelah ANGKASA membuka jalan jaringan diperingkat antarabangsa. Koperasi perlu mempersiapkan modal insan, modal idea dan modal kewangan untuk meneroka perniagaan yang masih belum diteroka pada hari ini. ANGKASA telah menyediakan platform dan memulakan inisiatif melalui Projek Memperkasakan Koperasi. Kesediaan koperasi untuk berubah akan menjamin kelestarian gerakan koperasi negara.
Khas 2019 PELANCAR
7
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease