Wadah PELANCAR Edisi November 2018

Tingkat Taraf Perkhidmatan Koperasi Kredit

Oleh : AIZAL AZIZAN SAJARI

» Naib Presiden ANGKASA, Haji Mohamad Azmi Omaruddin bergambar bersama peserta Seminar Rangsangan Modal di Hotel Kobemas, Melaka

ANGKASA menerusi Bahagian Perkhidmatan Kredit & Pembangunan Kewangan (BPKK) telah mengadakan Kursus Pemulihan Hutang Dan Pengurusan Kredit Zon Selatan pada awal September lalu.

Kursus selama dua hari membabitkan penyertaan 31 orang mewakili 13 koperasi melibatkan pelanggan Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA & RAMCI (SPeKAR) itu bertujuan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan koperasi kredit di negara ini, setaraf dengan perkhidmatan yang disediakan oleh institusi perbankan komersil. Naib Presiden ANGKASA, Haji Mohamad Azmi Omaruddin berkata, penyertaan koperasi kredit dalam kursus itu amat penting kerana dapat memberi pendedahan dan latihan secara terperinci dalam mempelajari kaedah mengutip hutang tidak berbayar secara lebih berkesan. Katanya, dalam menjamin keberkesanan kursus tersebut kepada semua koperasi pelanggan SPeKAR, ANGKASA telah melantik jururunding bertauliah iaitu MLCA Capital, sebuah firma perunding kewangan, perbankan, pengurusan risiko dan penasihat perniagaan bagi menyampaikan modul-modul yang berkaitan. “Maklumat-maklumat yang diperolehi ini diharap dapat meluaskan pengetahuan dan kesedaran bagi meningkatkan tahap profesionalisme Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan kakitangan koperasi dalam pengurusan aktiviti kredit. “Koperasi-koperasi kredit perlu menyedari bahawa perkhidmatan yang disediakan adalah setanding dengan perkhidmatan bank-bank komersil di pasaran luar. Mereka sewajarnya mengambil peluang yang ada untuk menghasilkan produk koperasi kredit yang bermutu dan diyakini anggota koperasi,” katanya ketika merasmikan kursus berkenaan yang diadakan di Hotel Kobemas, Melaka.

Sementara itu, dalam majlis berasingan pada 26 September 2018 lalu, sejumlah 25 peserta menyertai Seminar Rangsangan Modal Sektor Koperasi Zon Selatan yang bermatlamat mewujudkan platform kepada koperasi yang terdiri daripada pelbagai lapangan perniagaan untuk mendapatkan modal kerja bagi pembangunan koperasi. Menurut Haji Mohamad Azmi, pelbagai informasi berguna mengenai pakej-pakej rangsangan yang terdapat di pasaran untuk pembangunan koperasi telah disalurkan selain pendedahan kepada pengeluar modal yang terdiri daripada institusi perbankan/agensi berkaitan mengenai perniagaan koperasi. “ANGKASA melalui sektor ini memberikan komitmen terbaik untuk koperasi ahlinya dengan penyertaan pelbagai institusi perbankan dan agensi kewangan berkaitan seperti Bank Rakyat; Bank Islam Malaysia; Bank Persatuan; Bank Muamalat dan Koperasi Pembiyaan Syariah ANGKASA (KOPSYA). Penyertaan menerusi kursus ini juga diharap dapat membuka ruang pencerahan kepada peserta khususnya dalam melontarkan idea dan pandangan ke arah mengurangkan risiko supaya koperasi dapat menjalankan perniagaan dengan lebih lancar,” katanya. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Melaka, Haji Muslim Md. Shah dan Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Kredit Dan Pembangunan Kewangan (BPKK), Encik Muhamad Darulnizam Mat Darus.

November 2018 PELANCAR

19

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease