Perluas Peranan JPAN Oleh : NADIAH KAMARUDIN
Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri atau ringkasnya JPAN memainkan peranan yang begitu signifikan dalam membantu ANGKASA berfungsi dengan jayanya sebagai badan apeks gerakan koperasi negara.
Dato’ Haji Kamarudin Ismail Timbalan Presiden ANGKASA
Tidak dinafikan JPAN memikul tanggungjawab yang besar bukan sekadar tertumpu kepada perkhidmatan yang disediakan ANGKASA seperti perkhidmatan potongan gaji, malah turut memastikan pembangunan sosioekonomi koperasi ahli sentiasa berada di landasan yang sepatutnya menerusi pelbagai bentuk khidmat dan latihan anjuran ANGKASA. Demikian antara inti pati ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail sewaktu berucap merasmikan Kursus Khas JPAN Zon Timur di Terengganu, baru-baru ini. Kursus tersebut telah disertai seramai 65 peserta yang terdiri daripada Anggota Lembaga dan Ahli Jawatankuasa JPAN negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang Zon 1 hingga 3. Menurut beliau, pendekatan ekonomi yang sering berubah terutamanya dalam menghadapi kesan penggunaan teknologi digital telah menyebabkan sesetengah koperasi khususnya koperasi di luar bandar berasa ketinggalan khususnya dalam aspek persaingan dan juga harga.
Justeru, JPAN perlu sentiasa prihatin terhadap perkembangan pasaran semasa selain meluaskan ruang lingkup peranannya dengan membantu koperasi memperkasa pembangunan ekonomi digital bagi meneruskan kelangsungan sekaligus menjana hasil yang sepatutnya. Seiring dengan peningkatan jumlah koperasi dan keahliannya dalam ANGKASA, JPAN perlu melengkapkan tenaga kerjanya dengan melengkapkan Anggota Lembaga serta kakitangan yang berkelayakan dan mahir dalam menangani cabaran ekonomi koperasi selain mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang terutamanya perniagaan. Anggota Lembaga yang mahir dalam selok belok perniagaan mampu menjana tadbir korporat secara lebih mantap dan memberi impak lebih berkesan ke arah mencapai kejayaan seperti yang dihasratkan.
26 PELANCAR November 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease