Mudahkan Anggota Membuat Pinjaman Perumahan Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ
Koperasi dicadang supaya dapat mewujudkan skim simpanan khas untuk memudahkan anggota koperasi membuat pembiayaan perumahan di koperasi masing-masing.
Usaha ini wajar direalisasikan bagi memastikan kebajikan anggota koperasi terutamanya dalam pemilikan rumah akan lebih terjamin. Di samping itu, koperasi juga perlu memberi penekanan terhadap keperluan penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dibeli bagi memenuhi keperluan anggota. Untuk mewujudkan perumahan yang berkualiti, kerjasama banyak pihak yang melibatkan kerajaan, pemaju dan pembeli rumah amat diperlukan. Ini bertepatan dengan Dasar Perbandaran Negara (DPN) yang menyatakan penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana sangat penting bagi mewujudkan persekitaran bandar yang sejahtera dan mampan serta pada masa yang sama meminimumkan masalah setinggan. Bagaimanapun, langkah kerajaan yang bakal memperkenalkan Dasar Perumahan Negara Baharu pada Disember ini merupakan petanda positif kepada rakyat khususnya dalam mendapatkan kemudahan pinjaman dan perundangan menerusi polisi baharu yang bakal diperkenalkan. Dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan sokongan Maktab Koperasi Malaysia (MKM), ANGKASA berharap lebih banyak jaringan dan kerjasama erat dapat diwujudkan bagi memperkasakan koperasi hartanah di negara ini. ANGKASA menerusi Sektor Pembangunan Hartanah akan terus
mempergiatkan usaha mencari peluang dan ruang untuk memperluas serta memperkasakan gerakan koperasi hartanah di negara ini. Antara kaedahnya adalah seperti merangkumi usaha menggalakkan koperasi supaya dapat menjalin kerjasama antara koperasi atau swasta yang mempunyai sumber dana bagi melaksanakan sesuatu projek; menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi projek yang berskala besar untuk memaksimumkan keuntungan dan memendekkan tempoh pembinaan. Selain itu, koperasi juga perlu melibatkan individu yang mempunyai kepakaran seperti arkitek dan jurutera dalam setiap pembangunan sesuatu projek bagi memastikan projek sentiasa berada pada landasan yang betul dan berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa Naib Presiden ANGKASA
32 PELANCAR November 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease