Wadah PELANCAR Edisi November 2018

e-Dompet PEMBAYARAN TANPA TUNAI YANG SEMAKIN POPULAR Oleh : SAFINAH SAUPI

Sebagai sebuah entiti perniagaan, koperasi perlu sentiasa bersifat terbuka dan peka dengan perkembangan teknologi semasa, khususnya dalam ekonomi digital seperti urusniaga berasaskan e-Dompet.

e-Dompet dan Pengoperasian

Anggota koperasi yang juga pengguna dalam pasaran dan ekonomi terbuka, semestinya sudah biasa dengan pendekatan dan penggunaan pelbagai kaedah urusniaga berasaskan penggunaan teknologi digital. Fungsi e-Dompet dilihat semakin penting setelah melihat kepada aktiviti jual beli yang lebih cenderung kepada penggunaan sistem urusniaga tanpa tunai di premis-premis tertentu bagi memudahkan pelanggan yang tidak membawa wang tunai secukupnya. Selain penggunaan kad kredit dalam talian, penggunaan e-Dompet dilihat semakin popular dan berkembang pesat di seluruh dunia. Secara khususnya, urus niaga dompet mudah alih global bernilai USD594 bilion pada 2016 dan dijangka mencapai USD3.1 trilion menjelang 2022 iaitu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 32% antara 2017 hingga 2022.

E-dompet pada asasnya adalah versi digital bagi dompet fizikal yang menyimpan maklumat pengguna seperti identiti, e-mel dan alamat rumah, pelbagai kad kredit dan nombor akaun bank serta kad hadiah dan kad kesetiaan dalam persekitaran selamat. Selain dimuatkan dengan wang, e-Dompet direka untuk menjadi lebih mudah berbanding dompet fizikal dengan menyediakan pengurusan pembayaran dan akaun yang lebih baik. e-Dompet membolehkan pengguna menerima tawaran dan pemberitahuan daripada peniaga, menyimpan resit digital dan maklumat waranti. Contoh penyedia e-Dompet global – Alipay, Paytm, Samsung Pay, Apple Pay, Android Pay dan PayPal.

40 PELANCAR November 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease