Wadah PELANCAR Edisi Februari 2019

Konvensyen Pemerkasaan Koperasi Berlandaskan Semangat Bekerjasama Dan Keusahawanan

Reaksi

Konvensyen ini adalah platform terbaik kepada semua koperator untuk berkumpul dan memberikan idea serta pandangan ke arah pemerkasaan gerakan koperasi negara. Isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor koperasi masa kini dapat diketengahkan dan bincangkan dalam kalangan pakar-pakar bertauliah yang terdiri daripada bidang koperasi, industri dan pembuat dasar serta para akademik yang bersesuaian dengan ekosistem ekonomi negara.

Sha’azim Ibhaidullah Dadameah (Timbalan Pengerusi Koperasi Minda Usahawan Berhad Selangor)

Hala tuju dan masa depan sektor koperasi yang dipersetujui dalam resolusi konvensyen boleh dijadikan asas penting buat gerakan koperasi negara untuk kemajuan anggota dan komuniti sejagat untuk diserahkan kepada pihak kerajaan. Menerusi resolusi yang dicadangkan, diharap mendapat perhatian serius pihak kerajaan dalam usaha untuk melihat sektor ketiga ini mampu menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Ahmad Shukri Johari (Bendahari Koperasi Serbausaha Makmur Berhad)

Nilai keusahawanan yang diwujudkan melalui konsep berkoperasi ini berupaya merangsang keusahawanan sosial dalam kalangan anggota koperasi untuk lebih berdaya maju dan berdaya saing sebagai alternatif kepada dunia perniagaan sedia ada. Ia berupaya meningkatkan jumlah perolehan koperasi di samping menjamin kesejahteraan hidup anggota koperasi menerusi pulangan yang diterima.

Suhaimi Haji Ahmad (Setiausaha Koperasi Bumiputera Jasin Melaka Berhad)

Persaingan daripada sektor swasta menjadi faktor kepada sektor koperasi untuk terus maju dan lestari dalam bidang perniagaan. Dalam hal ini, koperasi disaran untuk memfokuskan aktiviti koperasi kepada penguasaan dan pengukuhan dalam setiap rantaian perniagaan. Sebagai contoh koperasi boleh terlibat dalam jaringan perniagaan di sesuatu kawasan yang berpotensi seperi perkhidmatan di universiti, masjid dan sebagainya.

Sarah Samsuri (ALK Koperasi Keluarga Ramlah Johor Bahru Berhad)

Masih ada Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang kurang pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang dijalankan iaitu tidak berfikiran “business minded” sehingga memberi kesan kepada koperasi yang kurang berdaya saing. Galakan konsep keusahawanan koperasi yang diterapkan di peringkat sekolah menjadi titik tolak kepada kesinambungan berkoperasi daripada koperasi sekolah ke koperasi dewasa. Ilmu yang perolehi mereka boleh memberi suntikan semangat untuk terus maju dan menjadikan bidang keusahawanan pilihan mereka dalam memajukan koperasi masing-masing kelak.

Roslina Mohd Nasir (ALK Koperasi SMK (P) Taman Petaling Selangor Berhad)

Nilai-nilai dan prinsip koperasi yang terkandung dalam jati diri koperasi perlu dihayati oleh setiap anggota kerana ia menjadi tunjang kekuatan dan kemajuan sesebuah koperasi. Pengisian yang terkandung dalam program ini sangat bermanfaat dan informatif. Penampilan ahli panel dari pelbagai latar belakang dan industri berbeza banyak membuka minda koperator untuk terus berjuang dan memperkasakan koperasi masing-masing dengan ilmu yang disebarkan untuk manfaat gerakan koperasi negara.

Nor Faizah Daud (ALK Koperasi SMK (P) Taman Petaling Selangor Berhad)

Februari 2019 PELANCAR

19

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease