PENGANTARABANGSAAN
16
Wadah
OKTOBER 2025
Pelbagai barangan yang dijual di kedai oleh University of Tokyo Co-op.
Peserta bergambar di hadapan kedai milik University of Tokyo Co-op.
Warga emas yang menerima perkhidmatan Fukushi Club Co-operative tersenyum gembira sambil menunjukkan hasil karya seni mereka semasa aktiviti terapi harian di pusat komuniti koperasi tersebut di Yokohama.
Peserta berpeluang berinteraksi dengan warga emas di pusat komuniti Fukushi Club Co-operative bagi memahami bagaimana koperasi memainkan peranan dalam membina komuniti penyayang dan saling menyokong.
inisiatif Kanagawa Prefectural Co-operative Association dengan sokongan pelbagai koperasi pengguna, pertanian dan pekerja di Wilayah Kanagawa. Lawatan itu memberi peluang kepada peserta melihat bagaimana organisasi tersebut berperanan membantu masyarakat rentan melalui pengagihan makanan dan pengurangan pembaziran. Food Bank Kanagawa menjadi model unggul bagaimana nilai dan semangat koperasi diaplikasikan dalam tindakan sosial. Melalui rangkaian kerjasama dengan 325 syarikat dan organisasi yang bersetuju menyumbangkan makanan, organisasi itu mengumpul lebihan makanan yang masih selamat dimakan untuk disalurkan secara percuma kepada institusi kebajikan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebagai ‘bank makanan teras’ bagi Wilayah Kanagawa, Food Bank Kanagawa tidak menyalurkan bantuan terus kepada individu, sebaliknya berperanan sebagai penghubung perantaraan ( intermediate support ) yang membekalkan makanan kepada 408 organisasi penerima, termasuk 67 agensi kerajaan dan 341 organisasi komuniti seperti pusat kebajikan, bank makanan tempatan, pantri makanan serta kafeteria komuniti dan kanak-kanak. Keunikan inisiatif berkenaan terletak pada pendekatan bersepadu yang digerakkan bersama oleh pelbagai sektor koperasi dan masyarakat sivil. Pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran makanan, malah memperkukuh jaringan solidariti antara komuniti bandar dan luar bandar. Pada tahun 2023, lebih 800 tan makanan berjaya dikumpul dan diagihkan dengan sebahagian besar sumbangan datang daripada rangkaian koperasi pengguna dan pengeluar tempatan. University of Tokyo Co-op Lawatan seterusnya pada hari yang sama membawa peserta ke University of Tokyo Co- op (UT Co-op) , sebuah koperasi universiti yang
berperanan menyokong kesejahteraan pelajar dan staf Universiti Tokyo. UT Co-op ditubuhkan pada Jun 1946 dan diperbadankan pada Mei 1949 di bawah Akta Persatuan Koperasi Pengguna. Sejak penubuhannya, koperasi itu menjadi organisasi pelajar yang memperjuangkan kehidupan kampus yang inklusif, berdaya tahan dan berasaskan nilai kebersamaan. Dengan modal saham ahli sebanyak 903.95 juta yen dan hasil perniagaan mencecah 6,080.48 juta yen bagi tahun kewangan 2024, UT Co-op kini mempunyai 49,182 ahli serta 640 orang kakitangan. Perniagaan utama UT Co-op meliputi pengendalian kafeteria universiti, kedai buku akademik, kedai keperluan harian, pusat perjalanan pelajar serta program bantuan pelajar dan insurans kebajikan. Melalui pelbagai cabang perkhidmatan tersebut, koperasi bukan sahaja menyediakan kemudahan asas, malah turut memastikan pelajar dan staf menikmati gaya hidup kampus yang mampu milik dan menyeluruh. Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, UT Co-op memainkan peranan penting dengan menyediakan makanan berkhasiat pada harga berpatutan dan menyokong pelajar yang kehilangan pendapatan sampingan. Koperasi juga memperkenalkan platform digital untuk pembelian buku dan barangan keperluan serta melaksanakan program sokongan mental dan kaunseling pelajar. Fukushi Club Co-operative Koperasi terakhir yang dilawati pada 9 Oktober 2025 adalah Fukushi Club Co-operative yang ditubuhkan pada tahun 1983 dengan matlamat membina komuniti penyayang dan saling menyokong. Berpegang pada falsafah ‘Tiada siapa ditinggalkan dalam masyarakat’, koperasi itu mencerminkan semangat Prinsip Koperasi Ketujuh. Fukushi Club Co-operative mula beroperasi pada April 1989 di Kohoku-ku, Yokohama City, Wilayah Kanagawa sebagai koperasi pertama di Jepun yang memberi tumpuan terhadap kebajikan masyarakat. Sehingga Mac 2025, koperasi itu beroperasi di 27 daerah pentadbiran
tempatan. Penubuhannya lahir daripada kesedaran terhadap cabaran masyarakat menua, kadar kelahiran yang menurun dan kekangan dalam sistem kebajikan awam dengan matlamat menyelesaikan isu sosial melalui tindakan bersama ahli koperasi. Koperasi tersebut menumpukan kepada perkhidmatan penjagaan warga emas, bantuan kehidupan harian, penghantaran makanan dan aktiviti komuniti. Keunikannya terletak pada penglibatan aktif ahli dalam setiap program sama ada sebagai sukarelawan, penyumbang idea atau penerima manfaat. Operasinya digerakkan melalui sistem sokongan kebajikan komuniti di rumah ( home welfare support system ) yang merangkumi penghantaran makanan selamat ke rumah ahli, sokongan kesihatan dan perubatan kepada warga emas serta kemudahan jagaan harian dan kediaman warga emas. Model itu melahirkan bentuk kebajikan berasaskan penyertaan warga ( citizen-participatory welfare ), menjadikan setiap ahli bukan sahaja pengguna, malah juga penyumbang aktif dalam menangani cabaran komuniti mereka. Selain penyediaan perkhidmatan kebajikan, koperasi tersebut turut mengendalikan pusat komuniti pelbagai fungsi sebagai ruang interaksi antara generasi. Golongan muda, ibu tunggal dan warga emas berkongsi aktiviti seperti memasak, bertani dan bengkel kemahiran, sekali gus mewujudkan hubungan sosial yang erat dan memperkukuh semangat kebersamaan di peringkat akar umbi.
Membangun komuniti yang inklusif dan lestari
Lawatan ke tiga koperasi tersebut memberikan gambaran jelas bahawa gerakan koperasi Jepun tidak hanya berorientasikan ekonomi, sebaliknya bertindak sebagai agen perubahan sosial. Setiap koperasi sama ada Food Bank Kanagawa , UT Co-op atau Fukushi Club Co-operative berfungsi dalam ekosistem yang saling melengkapi, menghubungkan aspek kebajikan, pendidikan dan solidariti komuniti.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease