Peluang Kerjaya Dalam Sektor Koperasi
Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ
» Haji Mutadho Bahri (berbaju batik kuning) dan barisan ahli jawatankuasa serta pengurusan Yayasan ANGKASA bergambar bersama pelajar tajaan ANGKASA yang menghadiri Program Kerjaya Pelajar Tahun Akhir Yayasan ANGKASA.
Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA, Haji Mutadho Bahri berkata, pelajar-pelajar tajaan Yayasan ANGKASA dilihat mampu menjadi pelapis warga koperasi pada masa hadapan dan mereka perlu mempersiapkan diri dengan menambah pengetahuan dan kemahiran ke arah masa depan yang lebih baik sekaligus membantu gerakan koperasi mencapai kecemerlangan. Katanya, pelajar tajaan Yayasan ANGKASA diharap dapat memanfaatkan peluang menjalani latihan industri yang ditawarkan itu sebagai satu persiapan awal kepada mereka untuk menimba pengalaman, kemahiran dan pengetahuan baharu sebelum melangkah ke alam pekerjaan. “Antara koperasi yang banyak memberi peluang pekerjaan kepada ramai graduan adalah seperti Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad dan banyak lagi,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Perasmian Penutupan Program Kerjaya Pelajar Tahun Akhir Yayasan ANGKASA di Kelana Jaya, Selangor, awal April lepas. Selain perlu bijak mengambil peluang yang ada, keputusan yang cemerlang juga merupakan sebuah nilai tambah yang perlu dititik beratkan kepada setiap pelajar bagi mencerahkan peluang dalam mendapatkan pekerjaan. “Dengan terlaksananya program latihan menerusi sektor-sektor sebegini, diharap pelajar dapat memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang secukupnya sekaligus dapat menentukan kerjaya pilihan mengikut minat dan kecenderungan,” ujar beliau. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim dan Datuk Haji Md. Yusof Shamsudin. Yayasan ANGKASA sentiasa berusaha memastikan pelajar di bawah pembiayaannya mendapat pendedahan yang selengkapnya menerusi latihan industri dan seterusnya mendapat peluang pekerjaan yang baik melalui kerjasama padu dengan subsidiari ANGKASA, sektor-sektor koperasi dan syarikat-syarikat korporat.
Jun 2018 PELANCAR
39
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease