ICA - AP MBO Sustainable Development Goals Seminar 2018
Usaha dan Komitmen Berterusan Anggota Penentu Kejayaan Agenda 2030
Oleh : NADIAH KAMARUDIN
Matlamat Pembangunan Lestari atau lebih dikenali sebagai Sustainable Development Goals (SDGs) adalah agenda global yang perlu digalas oleh 1.2 bilion individu di seluruh dunia yang merupakan anggota koperasi menjelang tahun 2030.
Pada dasarnya, 17 matlamat yang telah digaris oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin dilihat mustahil untuk dicapai secara keseluruhan pada masa yang sama. Hakikat ini perlu diterima oleh koperasi sebagai salah satu asas rujukan apabila membuat perancangan atau merangka strategi untuk mencapai pembangunan lestari. Sebagai permulaan, setiap anggota koperasi perlu menyedari bahawa usaha dan komitmen berterusanlah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan untuk merealisasikan agenda ini. Anggota boleh melihat perkara ini sebagai satu bentuk perjuangan demi kehidupan yang lebih sejahtera untuk generasi yang akan datang dan setiap perjuangan memerlukan kita supaya bersedia melakukan pengorbanan dari segi masa, tenaga, harta atau wang ringgit. Kedua, koperasi perlu memahami dengan baik semua matlamat yang telah digariskan kerana setiapnya mempunyai cabaran yang tertentu untuk dikenalpasti, dan mungkin sebahagiannya pula memerlukan input intelektual atau kepakaran profesional.
Setelah mengenal pasti cabaran yang akan dihadapi, langkah ketiga yang boleh diambil adalah dengan menetapkan sasaran-sasaran kecil yang mampu dicapai dalam jangka masa yang pendek atau sederhana. Hal ini adalah kerana sasaran kecil itu sendiri berpotensi membawa kita ke arah merealisasikan sasaran yang lebih besar. Sebagai contoh, koperasi mensasarkan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik secara berperingkat dalam masa lima tahun. Pendekatan tersebut sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari yang ke-12 iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab. Kepentingan mencapai Agenda 2030 adalah “destinasi” utama untuk kita semua. Namun begitu, keupayaan untuk menghayati dan menghargai nilai kemanusiaan merupakan pengajaran yang paling bernilai kepada kita dalam mengharungi perjalanan ini.
58 PELANCAR Jun 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease