PERSIDANGAN KEBANGSAAN TAHUNAN ANGKASA KE - 12 MEI 2018 DI DEWAN TUN RAZAK PWTC KUALA LUMPUR
ANGKASA Kukuhkan Peranan Di Peringkat Global
Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ
ANGKASA kini semakin mengukuhkan peranannya sebagai ‘pemain’ ( player ) dalam gerakan koperasi di peringkat global menerusi penyertaan pelbagai program ekonomi yang disifatkan sangat berjaya dan banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan sektor koperasi.
Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, usaha tersebut terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan seperti membangunkan jenama koperasi dan peranan ANGKASA sebagai badan puncak gerakan koperasi di Malaysia di samping terus bertindak secara lebih proaktif dalam menyuarakan idea serta pandangan selain menterjemah kepentingan sosioekonomi koperasi sejagat terhadap kemajuan secara saksama. Dato’ Abdul Fattah dalam ucapannya turut menyuarakan keyakinan terhadap kekuatan yang dimiliki berasaskan kepada kepercayaan, sokongan serta hubungan baik yang terjalin antara ANGKASA dengan gerakan koperasi di seluruh dunia. Lebih membanggakan lagi ujarnya, banyak koperasi dunia hadir bagi meninjau serta ingin mempelajari kejayaan model pembangunan koperasi di Malaysia yang dilaksanakan oleh ANGKASA. “Ini merupakan pencapaian terbaik ANGKASA dan kita perlu sentiasa bersedia untuk terus mencipta pembaharuan dan penambahbaikan dalam pelbagai aspek dari semasa ke semasa bagi memastikan pencapaian ini dapat terus kekal dan boleh ditingkatkan lagi. “Justeru, koperasi di Malaysia sewajarnya menyambut baik saranan supaya merebut peluang ini dan berusaha mempromosikan produk berkualiti mereka di peringkat global.
“Pemimpin koperasi juga perlu berperanan secara lebih proaktif dengan bersedia meninjau peluang-peluang perniagaan bercorak semasa seperti perniagaan online berasaskan maya. Diharap sektor koperasi negara dapat mengukuhkan aktiviti perniagaan mereka melalui inisiatif ini dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Presiden pada Persidangan Kebangsaan Tahunan ANGKASA (PKTA Ke-33) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Menariknya, PKTA Ke-33 kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila diadakan pada hari ulang tahun penubuhan ANGKASA ke-47 iaitu pada 12 Mei 1971 yang menyaksikan kehadiran sejumlah 3,806 perwakilan koperasi ahli ANGKASA seluruh negara. Dato’ Abdul Fattah menyatakan, berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2017, bilangan koperasi yang telah didaftarkan adalah sebanyak 13,899 buah dengan jumlah keanggotaan seramai kira-kira 6.55 juta orang. Jumlah syer/yuran pula adalah sebanyak RM14.35 bilion, jumlah aset koperasi sebanyak RM139.68 bilion dan jumlah perolehan sebanyak RM40.24 bilion. Ujarnya, menerusi angka-angka tersebut, koperasi memiliki potensi yang sangat besar untuk mengembangkan perniagaan sekaligus membuktikan pasaran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mampu menarik permintaan dalam pasaran dunia berdasarkan kepada kepelbagaian dan kualiti standard yang dimiliki.
6 PELANCAR Jun 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease