Wadah PELANCAR Edisi Ogos 2019

11 KOPERASI

Tinjau Semula Ternakan Kerang

Oleh : MOHD ZAKUAN AZMI

L awatan kerja pengurusan ANGKASA Pusat yang diketuai Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah telah mengunjungi Koperasi Pantai Merdeka Kedah Berhad (KPMKB) pada 11 Julai lalu. Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Dr. Mohd Azlan Yahya dan Prof. Madya Dato’ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta barisan Ahli Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Kedah yang diketuai Pengerusinya, Haji Wan Ibrahim Wan Jusoh. Selain mahu menyaksikan sendiri perkembangan perniagaan baharu yang dijalankan oleh koperasi tersebut iaitu KPMKB – Auto Parts, kedua-dua pihak juga turut membincangkan tentang status terkini serta potensi pembangunan semula tapak ternakan kerang yang pernah diusahakan oleh KPMKB sebelum ini. Dato’ Abdul Fattah berkata, kesung- guhan dalam menjalankan aktiviti perlu diteruskan dengan pendekatan dan strategi yang betul. Ia bagi memastikan perjalanan sesebuah perniagaan yang diusahakan itu mampu mencambahkan hasil seperti yang dirancang dan disasarkan.

Katanya, ANGKASA melalui rakan strategiknya sedia membantu KPMKB dalam menjayakan agenda pembangunan perniagaan alat ganti kenderaan selain menawarkan bantuan pinjaman melalui Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) untuk meningkatkan modal perniagaan sedia ada. Selain itu katanya, projek ternakan kerang KPMKB di perairan Pantai Merdeka, Kedah yang terhenti sejak beberapa tahun lalu perlu dikaji dan diteliti dengan sebaik mungkin selain mendapatkan pandangan daripada pakar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat. Beliau turut mengalu-alukan penglibatan semula KPMKB dalam industri tersebut yang dilihat sangat menguntungkan sekiranya semua proses pengurusan berjalan lancar dan masalah pencemaran dasar laut kesan daripada tsunami itu telah pulih dengan sepenuhnya. KPMKB yang mula didaftarkan pada bulan Ogos 1996 dengan 90 anggota turut menjalankan aktiviti penyewaan kedai selain menjadi agen kepada Tabung Haji Travel Sdn. Bhd. untuk pakej umrah dan pelancongan.

» Bergambar kenangan sambil bertukar cenderamata di hadapan KPMKB – Auto Parts yang terletak di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.

» Pengerusi KPMKB, Encik Seok Bu @ Abu Hassim memberi penerangan tentang perkembangan aktiviti koperasi kepada delegasi ANGKASA.

» Tapak ternakan kerang di Bukit Penjara, Pantai Merdeka.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease