Wadah PELANCAR Edisi Ogos 2018

Terap Amalan Nilai Murni Dalam Kepimpinan Koperasi

Oleh : Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah Presiden ANGKASA

Tahap emosi dan tingkah laku yang sering wujud dalam aspek kepimpinan sebenarnya mampu mempengaruhi prestasi kerja. Seseorang pemimpin yang bijak mengawal emosi selain berkebolehan dalam melaksanakan tugasnya secara profesional akan lebih yakin bahawa setiap arahan yang diberi, pasti dibalas dengan hasil kerja seperti yang dihasratkan.

Bagi menuntut keseimbangan seumpama itu, penerapan nilai-nilai murni dalam kepimpinan harus sentiasa ditekankan oleh setiap pemimpin. Antaranya adalah seperti berhemah tinggi, rasional, jujur, rajin, adil dan saling menghormati antara satu sama lain. Selain itu, keperibadian tinggi yang dimiliki oleh seseorang pemimpin juga dapat membantu mewujudkan rasa hormat dan kagum oleh kalangan pekerjanya. Keperibadian tinggi yang dimiliki oleh seseorang pemimpin mampu membina keperibadian dan membentuk jati diri yang dipandang lebih bersih selain boleh menjadi contoh kepada yang lain khususnya mereka yang dipimpin. Seterusnya, nilai kejujuran dan integriti tinggi juga merupakan antara pendekatan holistik penerapan nilai-nilai murni dalam kepimpinan yang sentiasa diperjuangkan oleh ANGKASA melalui kempen- kempen yang dijalankan sebelum ini. Menerusinya, pelbagai majlis ilmu seperti bengkel dan seminar berkaitan telah dianjurkan di seluruh negara dalam usaha ANGKASA untuk meningkatkan tahap kelestarian kepimpinan koperasi dan pembangunan modal insan dalam kalangan pemimpin-pemimpinnya.

Kesan terhadap amalan nilai-nilai murni dalam kepimpinan bukan sahaja berkait rapat dengan sikap dan keperibadian yang disenangi pekerja. Keberkesanannya juga turut melibatkan soal membuat keputusan dalam sesuatu perkara selain tidak membelakangi mana-mana pihak yang dirasakan tidak memiliki persefahaman meskipun mempunyai kebolehan atau kepakaran dalam sesuatu perkara berkaitan tugasan yang mahu dilaksanakan. Amalan politik di pejabat yang sentiasa kita dengar seperti kroni, puak, pengikut dan sebagainya lagi harus diketepikan dalam melaksanakan kepimpinan yang telus dan berkesan. Seorang pemimpin yang berwibawa dan memiliki keperibadian yang tinggi tidak akan mudah memberi tafsiran atau mudah percaya dengan sebarang unsur yang cuba untuk melaga-lagakan sesama pekerja. Pemimpin harus tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk dan tidak mudah cepat percaya dengan sebarang bentuk kenyataan yang akhirnya boleh menenggelamkan kebolehan dan juga keupayaan yang dimiliki oleh seseorang pekerja hanya kerana percaya dengan kenyataan sesetengah individu yang berniat tidak baik atau lebih berunsurkan kepentingan peribadi.

16 PELANCAR Ogos 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease