Wadah PELANCAR Edisi Ogos 2018

Kepimpinan Terbaik Mencorak Tadbir Urus Cemerlang

Oleh : Dato’ Haji Kamarudin Ismail Naib Presiden ANGKASA

Kekuatan gerakan koperasi dalam sesebuah negara sangat bergantung kepada tadbir urus dan kepimpinan yang baik bagi mencapai tahap kepimpinan lebih mampan sekaligus dapat memberi sumbangan lebih besar terhadap pembangunan sosioekonomi negara tersebut.

Hal tersebut terbukti melalui tadbir urus dan kepimpinan yang cekap dan efisien dalam menjalankan amanah dan kelebihan itu mampu mempengaruhi kecemerlangan sesebuah koperasi dan mewujudkan organisasi yang lebih mantap. Selain itu, kecemerlangan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada cara bagaimana pemimpin mencorakkannya. Pemimpin bukan sahaja bertindak sebagai penggerak tetapi perlu menunjukkan contoh yang terbaik kepada warga kerja termasuk masyarakat. Pemimpin juga perlu memiliki wawasan dan matlamat yang jelas untuk melaksanakan tanggujawab mengurus koperasi. Seorang pemimpin yang cekap perlu mempunyai kredibiliti yang tinggi untuk mengharungi cabaran dalam dunia kepemimpinan gerakan koperasi sejajar dengan keperluan Dasar Koperasi Negara 2011-2020. Mereka perlu bersifat komited serta meletakkan usaha jitu untuk mencapai perubahan yang diharapkan serta menggunakan sumber-sumber secara profesional dan berkesan.

Penekanan terhadap pendekatan tadbir urus koperasi berupaya memastikan warga koperasi melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang digariskan dengan berpegang teguh kepada amalan jati diri dan perundangan koperasi manakala barisan Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) dan Anggota Lembaga pula perlu bergerak seiring dan selari dengan matlamat organisasi agar perjalanan aktiviti dan pengurusan bergerak dengan lancar. Kedua-dua pihak juga perlu memainkan peranan secara lebih efektif untuk mempertingkatkan keyakinan masyarakat terhadap sektor koperasi. Koperasi sewajarnya mengamalkan tadbir urus berkesan di samping menjaga nama baik dan imej gerakan koperasi negara di mata masyarakat seterusnya berusaha memartabatkannya di peringkat yang lebih tinggi. Penerapan sifat integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus koperasi penting dalam kalangan koperasi dan kesedaran terhadap sifat-sifat ini hendaklah dilaksanakan dan perlu seiring ke arah melahirkan budaya integriti dalam koperasi.

Ogos 2018 PELANCAR

17

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease