Wadah PELANCAR Edisi Ogos 2018

Gerakan koperasi di Malaysia memerlukan pemimpin pelapis dalam golongan muda untuk dilatih bagi menerajui kepimpinan koperasi pada masa hadapan. Mereka perlu diberi peranan dari peringkat awal lagi bagi menggilap bakat dalam pengurusan sekaligus menyegar dan menyuntik semangat dan idea baharu untuk memartabatkan lagi sektor koperasi. Perkasa Kepimpinan Muda Dalam Koperasi Oleh : SITI ROHANI ABUYAN Pengurus Besar, Koperasi Serbaguna Iman (M) Berhad

Pemimpin pelapis perlu diberi peluang dan ruang untuk menonjolkan diri selain mengubah tanggapan masyarakat, iaitu koperasi hanya untuk golongan tua. Koperasi yang dorman dan kegagalan koperasi untuk menyerlah dalam sektor ekonomi membuatkan sumbangannya tidak signifikan sebagai penyumbang popular kepada kepesatan ekonomi negara semenjak dahulu lagi. Walaupun sejarah penubuhan koperasi bermula seawal 1920- an, perkembangannya tidak begitu ketara dan sangat perlahan. Pemimpin koperasi muda harus peka dan mengikut arus perkembangan dunia sama ada dari segi teknologi, aktiviti ekonomi dan kepelbagaian budaya. Dunia tanpa sempadan membolehkan urusan dilaksanakan dengan lebih mudah dan efisien tanpa mengabaikan ketepatan maklumat dan perincian seperti perbankan internet. Menerusinya, proses pemindahan wang dan terimaan wang menjadi sangat pantas dan ini telah menjadikan transaksi ekonomi bergerak dengan cepat. Begitu juga kaedah pemasaran digital yang merangkumi pemasaran ke seluruh dunia dengan kos yang murah dan efisien. Pemimpin koperasi perlu sedar kaedah-kaedah terkini yang wujud dalam aktiviti ekonomi bagi memastikan koperasi dapat sama-sama berperanan dalam persaingan tersebut. Seorang pemimpin yang berkaliber, mestilah mempunyai tahap kebolehan yang tinggi dalam bidang kerjaya tetapi juga berpengetahuan luas selain mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi merangkumi integriti dan kepimpinan. Walaupun koperasi itu hanyalah sebuah koperasi sekolah, pelajar yang terlibat perlu diberi latihan dan semangat keusahawanan koperasi untuk menguruskan aktiviti perniagaan koperasi

dengan menjadikan rakan sebaya sebagai pelanggan. Perniagaan yang dijalankan itu dapat membentuk sikap keusahawanan dan kepimpinan dalam jiwa pelajar. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, ilmu perniagaan sangat penting untuk difahami dan dikuasai. Pemimpin muda koperasi perlu sedar bahawa penglibatan dalam bidang perniagaan akan melibatkan soal risk and return atau risiko dan pulangan. Teori pelaburan juga turut terkenal dengan istilah, high risk high return dan begitu juga sebaliknya. Kemahiran mengenal pasti risiko dan pulangan dalam perniagaan yang diceburi sangat penting dalam membuat keputusan. Ini kerana, modal untuk perniagaan adalah diperoleh daripada anggota atau mungkin juga daripada sumber luar seperti bank. Kemahiran dalam ilmu perakaunan juga perlu dipelajari oleh pemimpin koperasi kerana ilmu perakaunan berkait rapat dengan pelaporan untung rugi perniagaan. Koperasi sebagai entiti yang dimiliki oleh anggota akan dipantau oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dari segi pelaporan aktiviti perniagaan dan juga pengurusan. Pemimpin koperasi juga perlu mematuhi undang-undang percukaian oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana menjalankan aktiviti perniagaan. Ilmu percukaian juga perlu dikuasai dan diperlengkap bagi memastikan pelaporan aktiviti perniagaan yang dijalankan dipatuhi. Bagi mengelak kerugian, pemimpin perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terutama perkara yang melibatkan bidang kuasa mereka seperti keputusan keterlibatan dalam sesuatu perniagaan. Sudah sampai masanya, pemimpin muda dalam koperasi berperanan secara lebih serius dalam mengurus tadbir koperasi dan tidak boleh sentiasa berada dalam zon selesa demi memastikan koperasi sentiasa diuruskan dengan baik dan terkawal.

22 PELANCAR Ogos 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease