Wadah PELANCAR Edisi Ogos 2018

Kepimpinan Dan Tadbir Urus Yang Baik Dalam Koperasi (Konteks Anggota Lembaga Koperasi)

Oleh : SUZITA BINTI TUSIRIN Pengurus, Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad

Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) yang menggariskan kuasa tertinggi bagi sesebuah koperasi terletak kepada mesyuarat agung anggotanya yang melantik wakil iaitu Anggota Lembaga Koperasi (ALK) secara demokratik menerusi pemilihan secara adil dan saksama.

ALK dipilih bagi mengurus dan mengawasi urusan atau aktiviti, kumpulan wang dan harta koperasi selain berperanan memastikan pentadbiran dan pengurusan koperasi berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang dihasratkan. Berdasarkan peranan utama ALK dalam Akta berkenaan, mereka (ALK) mempunyai peranan yang amat penting dalam koperasi khususnya dalam mentadbir urus dari peringkat dasar dalam kepimpinan koperasi. Mereka juga perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah kepada koperasi dalam konteks pengurusan dan juga kewangan. Dalam tadbir urus sesebuah koperasi, pengagihan tanggungjawab amatlah penting di antara ALK, pengarah, pengurus, pekerja, anggota koperasi dan undang-undang selain aturan yang diwujudkan bagi menggaris dan melaksana setiap aktiviti dalam koperasi itu sendiri. Bagi menentukan tadbir urus sesebuah koperasi agar terus berjalan secara komprehensif dan lancar, tadbir urus bercirikan Islam boleh diterapkan iaitu mengambil kira jati diri, moral dan sikap ALK yang ikhlas, jujur dan berakauntabiliti. Mereka juga perlu memiliki sifat tekun sama seperti mentaliti ahli perniagaan selain sentiasa berhemah dan sedia bertanggungjawab terhadap apa yang diputuskan oleh mereka dalam menjalankan sesuatu tindakan dan keputusan. Islam itu ‘Addin’ dan amat menyeluruh dalam kehidupan seharian, hinggakan bagi urusan koperasi sekali pun, ia mesti dilaksanakan semata-mata kerana

Allah lebih-lebih lagi ia adalah muamalah. Islam bukan hanya mengenai perihal keagamaan, tetapi turut meliputi semua perkara dalam kehidupan termasuk ekonomi dan sosial. Perbezaan ketara antara tadbir urus Islam dengan tadbir urus secara korporat adalah pegangannya. Tadbir urus secara Islam berdasarkan tauhid dan hanya semata-mata kerana Allah manakala korporat pula lebih mementingkan kelancaran dan keuntungan semata-mata. Tadbir urus korporat yang kini dimanipulasikan dalam sistem pentadbiran koperasi dilihat sebagai struktur yang bersifat rasional dan boleh merosakkan organisasi sekiranya tidak dikawal. Ia tidak dapat diperbaiki dengan menambah sekian banyak pengawalan, penggubalan undang-undang, polisi serta garis panduan aktiviti kerana membolehkan apa yang terlarang bagi dilaksana asal sahaja ia mampu mencapai sasaran dan matlamat. Mereka akan selesa meneruskan pentadbiran secara begini asalkan ‘tidak melakukan sesuatu yang salah’ pada pandangan mereka tetapi mereka ‘tidak melakukan apa yang terbaik’. Justeru, tadbir urus yang dijalankan secara telus dan ikhlas akan mengelakkan koperasi daripada berdepan dengan amalan pengurusan yang tidak baik sama ada disebabkan konflik kepentingan dalam kalangan ALK atau kegagalan memenuhi kepentingan anggota disebabkan Anggota Lembaga sebagai peneraju utama sesebuah koperasi.

Ogos 2018 PELANCAR

23

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease