Wadah PELANCAR Edisi Julai 2019

ANGKASA 16

Oleh : NOR AZAH ABD AZIZ Ikon Muda - Pendorong Semangat Koperator

» Ikon Koperator Muda 2019 merakam kenangan bersama guru dan rakan-rakan.

S eramai 300 orang anggota daripada 80 buah koperasi sekolah dari seluruh Malaysia, berhimpun di Auditorium ANGKASA, pada 24 Jun lalu, bagi menghadiri Program Khas Ikon Muda Koperasi Sekolah & Majlis Iftar 2019. Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah berkata, penglibatan pelajar dalam koperasi sekolah tidak menghalang mereka untuk cemerlang dalam bidang akademik. ANGKASA juga mahu jadikan ikon-ikon tersebut sebagai contoh kepada pelajar lain supaya mereka terus aktif dalam kegiatan koperasi sekolah. “Kegiatan koperasi sekolah ternyata mampu menyuntik pelbagai elemen positif dalam keperibadian, personaliti, kepimpinan dan pendedahan mengenai koperasi serta perniagaan,” katanya. Menurut beliau, ikon-ikon itu akan dibawa mengikuti siri jelajah ANGKASA di sekolah-sekolah seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dan tips bersama pelajar lain. Antara perkara yang boleh dikongsikan adalah seperti bagaimana mereka membahagikan masa antara keperluan akademik dan kegiatan koperasi selepas waktu sekolah. “ANGKASA juga berharap supaya ikon-ikon itu dapat menjadi pencetus kepada lebih ramai pelajar untuk menjadi anggota koperasi selain mencungkil bakat pelajar dari bangku sekolah lagi,” katanya. Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Dr. Mohd Azlan Yahya dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa; Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya dan Ketua Eksekutif Kolej Icoop, Prof Madya Rosli Ali.

Muhammad Hilman Nor Azmi Salah seorang pelajar yang dinobatkan sebagai Ikon Koperator Muda Koperasi Sekolah 2019 ialah Adik Muhammad Hilman Nor Azmi dari SM Imtiaz Kuala Terengganu. Beliau merupakan pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia 2018 bagi Negeri Terengganu. Beliau merupakan calon saintis Islam Terengganu dalam akademik dan kegiatan kokurikulum. Beliau adalah Anggota Lembaga Koperasi sekolah, sangat bertepatan untuk dijadikan contoh kepada pelajar lain.

Antara prinsip yang menjadi pegangan beliau semasa berada di sekolah adalah pengurusan masa yang efektif. Tidak dinafikan bahawa kehidupan di sekolah amat sibuk dan pelajar perlu bijak seimbangkan antara akademik dan aktiviti ko-kurikulum. Melalui pengurusan masa yang berkesan seperti mengikuti jadual harian, memanfaatkan masa pada setiap saat, para pelajar mampu membahagikan masa secukupnya untuk aktif dalam pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Muhammad Khairin Yusraa Sabri

Ikon kedua iaitu Adik Muhammad Khairin Yusraa Sabri berkata, warga koperator muda perlu menggunakan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh, agar mereka berjaya mencapai kejayaan yang diidamkan. Berpegang kepada falsafah yang sering diluahkan oleh gurunya iaitu ‘Create happiness in your life with your own hands, not your mere dreams’ , beliau berpendapat bahawa merekalah yang menentukan masa depan mereka sendiri, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah ko- kurikulum dan sahsiah. Katanya, adalah penting untuk koperator menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa, guru dan rakan, selain menguasai ilmu pengetahuan.

Nurulfatihah Alashiqen Hishamuddin

Sementara itu, Ikon Koperator Muda terakhir, Adik Nurulfatihah Alashiqen Hishamuddin berkata, koperator perlu menjalankan amanah yang diberikan dengan baik dan bersama-sama merealisasikan impian setiap koperasi sekolah untuk menjadi yang terbaik. Pendapatnya lagi, sikap kerjasama dalam koperasi telah membuatkan beliau tertarik untuk terus bertugas sebagai Anggota Lembaga Koperasi. Dorongan daripada guru-guru dan rakan- rakan juga membakar semangatnya untuk terus berjaya sehingga hari ini. Tambahnya lagi, sebagai seorang pelajar, pengurusan masa amat penting, terutama sekali bagi mereka yang aktif dalam bidang ko-kurikulum dengan cara mengaplikasikan aktiviti harian yang selalu dilakukan dalam pelajaran.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease