Wadah PELANCAR Edisi Oktober 2018

Koperasi Wanita : Cabaran dan Hala Tuju

» Gambar Hiasan

Oleh : ABDUL WAHAB HAJI ALIAS Penolong Pengurus Bahagian Sekretariat ANGKASA

Peranan golongan wanita sangat penting dalam penjanaan ekonomi berteraskan perniagaan selain membantu memperkuatkan lagi pengaruh dan pasaran dengan modal, kepakaran, pasaran serta produk sehingga ke pasaran luar negara.

Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011–2020 yang menjadi hala tuju menggerakkan pertumbuhan ekonomi koperasi secara lebih mampan turut menjadi faktor penyumbang kepada lebih banyak koperasi wanita ditubuhkan. Sehingga 31 Disember 2017, Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah merekodkan pendaftaran 249 buah koperasi wanita dengan jumlah keanggotaan seramai 36 ribu orang. The Alor Pongsu Woman Padi Planters Seasonal Cooperatives Credit Society Limited yang didaftarkan pada tahun 1948 mencatat sejarah sebagai koperasi wanita terawal yang ditubuhkan. Tujuan penubuhan koperasi tersebut adalah untuk membantu masalah keberhutangan dalam kalangan penduduk kampung dan juga kakitangan kerajaan. Sebagai contoh, melalui sistem padi kunca merupakan satu sistem peminjaman wang yang bayarannya dibuat dengan hasil tuaian padi dijual sebelum proses penanaman. Koperasi ini digerakkan sepenuhnya oleh golongan wanita dan berjaya membebaskan anggotanya daripada belenggu hutang dan seterusnya berupaya menebus kembali tanah mereka.

Antara koperasi wanita terbaik yang lain adalah seperti Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad, Koperasi Rancangan Tanah Beliawanis Bukit Mambai Segamat Berhad, Koperasi Wanita Islam Kelantan Berhad dan Koperasi Guru-guru Wanita Melayu Malaysia Berhad. Koperasi Serbaguna Kaum Ibu Kubang Pasu Berhad meskipun diterajui oleh kaum wanita sepenuhnya, tidak menghalang koperasi tersebut untuk berada pada kedudukan ke-66 dalam kategori 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2015. Koperasi Putri Terbilang Malaysia Berhad (KOPUTRI) merupakan antara contoh koperasi wanita yang berjaya. Mula ditubuhkan pada tahun 2006 dengan keanggotaan seramai 100 orang pada peringkat awal, keanggotaan koperasi tersebut telah berkembang lebih 22,000 anggota yang terdiri daripada kaum wanita sepenuhnya. Jumlah anggota yang ramai itu telah menjadi pemangkin kepada kekuatan koperasi apabila hasil daripada kutipan yuran simpanan dan yuran kebajikan daripada anggota yang mencarum setiap bulan secara tetap, koperasi tersebut kini telah memiliki sebuah Pusat Perubatan bernilai RM8.2 juta di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

44 PELANCAR Oktober 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease