Cabaran yang dihadapi oleh koperasi wanita sebenarnya tidak jauh bezanya dengan koperasi dewasa yang lain. Tidak wujud diskriminasi gender dalam gerakan koperasi di Malaysia, namun cabaran yang menanti lebih kepada aspek tadbir urus, kepimpinan dan penglibatan anggota koperasi itu sendiri. Semua koperasi tanpa mengira fungsi koperasi harus berubah, menerima pembaharuan dan pembangunan selagi tidak bertentangan dengan perundangan koperasi dan matlamat penubuhan koperasi. Keprihatinan dan kesedaran tentang perkembangan semasa dari segi perubahan keanggotaan, perkembangan teknologi maklumat dan kedudukan ekonomi semasa adalah amat penting kerana mampu menjadi penentu kepada hala tuju sesebuah koperasi di masa hadapan. Pemimpin koperasi wanita juga perlu mengubah paradigma ke arah pembangunan koperasi secara lebih holistik dengan tadbir urus yang cekap, telus, mengutamakan akauntabiliti dan berwibawa. Peranan anggota juga sangat berkait rapat dengan faktor kejayaan dan keutuhan sesebuah koperasi. Anggota perlu dibekalkan dengan ilmu yang secukupnya selain memiliki persediaan rapi berkaitan pentadbiran, pengurusan, perundangan dan perakaunan koperasi. Pemikiran yang cetek mengenai jati diri koperasi seperti konsep, prinsip dan nilai asas koperasi telah menyebabkan anggota tidak memahami bagaimana cara koperasi bergerak mahupun faedah atas sumbangan (yuran dan syer). Bagi melonjakkan koperasi ke tahap yang lebih tinggi dan untuk terus kekal kompetitif, penekanan perlu diberi kepada perkara berikut: a. Penglibatan koperasi dalam bidang ekonomi yang bernilai tinggi. b. Pembangunan modal insan yang kreatif, inovatif dan berbudaya keusahawanan. c. Kesedaran tentang perubahan persekitaran. Kebanyakan koperasi wanita di negara ini berada dalam kluster mikro dan mempunyai fungsi yang sama. Koperasi hendaklah menjadi penjana pertumbuhan ekonomi dan entiti perniagaan yang kompetitif dalam bidang yang diterajui. Fokus dalam usaha untuk membina sebuah koperasi yang lebih berjaya adalah pendekatan terbaik bagi meningkatkan keupayaan modal insan secara lebih efektif dan profesional. Setiap individu mempunyai kreativiti atau potensi tersendiri yang boleh dimanfaat bagi membantu koperasi untuk mencapai hasrat yang disasarkan.
Usaha bagi mewujudkan koperasi wanita di setiap daerah merupakan antara langkah bijak dalam usaha membantu usahawan wanita menjalankan perniagaan secara lebih berkesan di samping dapat mengukuhkan aset koperasi dan saham anggota masing-masing. Menerusinya juga, jenama keluaran koperasi mampu diketengahkan secara lebih efektif selain boleh digembleng secara bersama menerusi pusat pengumpulan serta memasarkan produk keluaran anggota koperasi wanita di bawah satu jenama. Koperasi wanita juga boleh melibatkan diri dalam bidang perniagaan francais seperti produk kesihatan, kecantikan, jahitan, kraftangan atau barangan makanan yang dilihat berpotensi untuk membantu meningkatkan pendapatan mereka. Anggota Lembaga Koperasi (ALK) perlu sentiasa peka dan bersedia untuk melakukan perubahan. Hal ini dilihat sebagai perlu kerana sebahagian besar anggota koperasi tidak terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh koperasi. Anggota hanya melabur untuk mendapatkan keuntungan semata-mata. Akhirnya, beban mengurus dan memajukan koperasi dipertanggungjawabkan kepada ALK dan kakitangan pengurusan sahaja. Gerakan koperasi wanita perlu berubah daripada kepompong yang dirasakan selesa kepada sebuah pertubuhan yang lebih bersifat global. Perubahan tersebut adalah peralihan dari satu fasa bersifat konvensional iaitu hanya berniaga dalam kepompong yang selamat dan terjamin kepada sebuah perniagaan yang lebih mencabar. Penglibatan daripada golongan muda juga perlu diberi perhatian kerana mereka dilihat lebih berani untuk meneroka perniagaan bernilai tinggi yang memerlukan inovasi, ilmu pengetahuan yang tinggi, lebih pantas dan memiliki kemampuan untuk bersaing di peringkat global. Koperasi wanita juga boleh menjalin kerjasama dalam kalangan koperasi dan bertindak secara kolektif serta sistematik dengan mewujudkan rantaian nilai antara koperasi-koperasi dalam mencari peluang- peluang perniagaan baharu. Kaum wanita memang memainkan peranan penting kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dan ini tidak terkecuali dalam sektor koperasi. Mentaliti yang menyekat penglibatan aktif kaum wanita dalam koperasi harus dikikis kerana sesungguhnya kaum wanita mempunyai sifat tekun dan gigih, serta mempunyai sikap bertanggungjawab dan sanggup bertungkus lumus merebut peluang sedia ada selain tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap keluarga.
Oktober 2018 PELANCAR
45
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease