Pandangan Guru
Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) di Malaysia merupakan antara platform terbaik kepada pelajar untuk mengenali Malaysia secara lebih dekat. Banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah boleh diterokai di samping dapat mengenali dengan lebih dekat budaya warisan bangsa serta fokus tokoh setiap negeri. Melalui PKS juga, pelajar dapat menimba pelbagai ilmu seperti kepimpinan, cara berkomunikasi, cara layanan terhadap tetamu dan meningkatkan daya keyakinan diri. Bagi saya, program selama tiga hari di sini dirasakan sangat suntuk dan pada masa hadapan diharapkan lebih banyak aktiviti boleh diselitkan. Harapan saya, untuk penganjuran di masa hadapan, lebih ramai pelajar diberi peluang untuk menyertai program sebegini. Adakan juga program lawatan ilmiah dan simposium serta bicara pemimpin koperasi supaya pelajar mendapat input tambahan. Puan Sharifah Raudzah Syed Junid Koperasi SMK Pasir Gudang Johor Bahru Berhad
Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) di Malaysia semakin maju dan pragmatik saban tahun. Namun begitu, setiap sekolah perlu menumpukan perhatian kepada fokus subjek supaya tidak lari daripada visi dan misi gerakan PKS. Selain itu, pelajar juga perlu diberikan peranan yang lebih besar dalam menentukan aktiviti- aktiviti yang terkandung sepanjang menjadi hos dan turut bertanggungjawab untuk memberi penerangan kepada Tamu. Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan pengisian sepanjang mengikuti perhimpunan pada tahun ini dan berharap selepas ini lebih banyak anugerah dipertandingkan seperti Guru Ikon PKS, Anugerah Kepimpinan Pelajar dan Tamu paling aktif. Puan Azlinda Abd. Rahman Koperasi SMK Batu Kikir (Model Khas) Berhad
Program Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) di Malaysia sangat baik dalam usaha membentuk kemenjadian murid. Saya sebut begitu kerana murid dibimbing untuk menguruskan sendiri aktiviti PKS. Secara tidak langsung ia mampu meningkatkan kemahiran sosial dan keyakinan diri pelajar. Selain itu, saya berpendapat program pengantarabangsaan PKS berpotensi menjadi medium untuk meningkatkan taraf penguasaan Bahasa Inggeris pelajar. Jadi, anugerah di peringkat kebangsaan merupakan satu penghargaan buat sekolah yang menjalankan PKS setelah menempuh pelbagai cabaran dan halangan. Sepanjang tiga hari program PKS dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menarik serta berfaedah. Bukan hanya dapat mengenali ikon dan mercu tanda negeri tuan rumah malah dapat mengeratkan hubungan semua peserta dari seluruh negara. Apa lagi apabila disulam dengan program anak angkat yang banyak memberi pengalaman baharu kepada pelajar bagi mengenal adat dan budaya setempat. Encik Khairol Haji Damiri Koperasi SMK Redang Panjang Ijok Berhad
Saban tahun, gerakan Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) dilihat semakin berkembang dan sangat membantu dalam pembinaan jati diri, kreativiti, kepimpinan dan keusahawanan kepada pelajar. Dari segi penganjuran pula, program kali ini berjalan sangat lancar walaupun kelihatan sedikit tergesa-gesa mungkin kerana faktor masa yang terbatas. Namun hal tersebut tidak menjejaskan keseluruhan program dan diharap ia dapat ditangani dengan lebih baik di masa hadapan. Saya juga berharap agar program PKS dimantapkan lagi dengan pengisian-pengisian yang lebih eksklusif bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran peserta sekaligus dapat membezakan standard PKS dengan program-program sealiran yang lain. Encik Mohd Yasrizal Shahrin Abd Manaf Koperasi SMK Pelong Setiu Terengganu Berhad
26 PELANCAR September 2018
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease