Wadah PELANCAR Edisi September 2018

Koperasi Perlu Berani Ceburi Perniagaan Berimpak Tinggi

Oleh : RAHMAT MOHD DID

Koperasi-koperasi di Pahang disaran supaya meningkatkan produktiviti serta menceburkan diri dalam sektor perniagaan berimpak tinggi bagi memastikan perolehan koperasi dapat ditingkatkan seterusnya memberi manfaat kepada anggotanya.

» Bergambar bersama-sama anggota-anggota Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, untuk mencapai matlamat itu, pemimpin perlu memberi fokus kepada kecekapan pengurusan, sikap kejujuran dan amanah serta menjaga kepentingan anggota. Menurutnya, Pahang mempunyai 1106 buah koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan 292,113 orang anggota dan perolehan RM723.48 juta mengikut laporan sehingga penghujung tahun 2017. “Kita ada koperasi tertua di Pahang iaitu Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang (KPKP) yang ditubuhkan pada tahun 1926 dan kekal aktif selama 92 tahun manakala koperasi termuda di Pahang adalah Koperasi Kariah Masjid Bukit Betong Kuala Lipis Berhad yang ditubuhkan pada bulan Disember 2017. Saya berharap statistik ini bukan sekadar angka tetapi fungsi sebenar koperasi itu dapat dicapai iaitu bekerja bersama-sama untuk manfaat bersama. Semua unit koperasi dari kepimpinan tertinggi sehinggalah anggota perlu bersama-sama meningkatkan perasaan cinta kepada koperasi dan berusaha untuk memajukannya demi kebajikan bersama,” jelasnya. Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI) Ke-32 di Kuala Lipis, Pahang.

Turut hadir ialah Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (KENDALI), Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah; Pengarah RISDA Negeri Pahang, Encik Hazarudin Hamzah; Pegawai Daerah Kuala Lipis, Tuan Mohd Hafizi Ibrahim dan Wakil SKM Raub/ Lipis, Puan Nadiatul Anisha Abdullah. Terdahulu, Dato’ Abdul Fattah dalam ucapan aluannya berkata, KENDALI merancang untuk membuka sebuah stesen minyak di Kampung Mela, Mukim Cheka Satu. Cadangan tapak stesen itu dilihat strategik kerana berdekatan dengan Jalan Persekutuan Lama Kuala Lipis ke Jerantut. Katanya, KENDALI perlu menceburi bidang perniagaan baharu dalam usaha mempelbagaikan aktiviti koperasi dan meningkatkan perolehan untuk dibahagikan kepada anggota-anggota melalui dividen dan insentif. Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang UPSR, PT3 dan SPM yang melibatkan enam orang anak anggota koperasi dan Penyampaian Sumbangan Khairat Kematian kepada dua orang anggota. Setakat ini, jumlah anggota KENDALI telah adalah seramai 5775 anggota dengan jumlah syer terkumpul sebanyak RM1,008,786.09. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh KENDALI termasuklah pemasaran getah dan sawit, penyimpanan baja (stokis) dan pengangkutan, pembekalan input pertanian dan kontrak CIDB dan E-Perolehan.

September 2018 PELANCAR

35

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease