Wadah PELANCAR Edisi September 2018

Tingkat Semangat Keusahawanan Koperasi Di Sekolah Oleh : NOR AZAH ABD. AZIZ

» Datuk Haji Mohammad Ali Hasan diiringi Pengetua Sekolah, Haji Ahmad Ismail mengunjungi Karnival Koperasi dan Keusahawanan SMK Bukit Rahman Putra.

Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan berharap agar usaha yang dijalankan oleh Koperasi SMK Bukit Rahman Putra Berhad dapat meningkatkan semangat keusahawanan dan pengkoperasian dalam kalangan pelajar.

Penglibatan pelajar dalam koperasi, dapat memperkukuh jati diri seperti sikap toleransi, bersatu padu, persamaan, keadilan, tolong-menolong selain mendidik daya kepimpinan yang tinggi, selaras dengan prinsip dan nilai pegangan koperasi. Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan, yang ingin melahirkan lebih ramai usahawan muda pada masa hadapan. Pendedahan kepada budaya keusahawanan merupakan proses pembelajaran supaya minda mereka lebih kreatif dan mampu berdikari bila dewasa kelak. Datuk Haji Mohamad Ali Hasan mewakili Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Haji Abdullah merasmikan Karnival Koperasi Dan Keusahawanan 2018 di SMK Bukit Rahman Putra di Sungai Buloh, Selangor. Karnival tersebut dianjurkan dengan matlamat untuk membentuk kerjasama erat dan kesepaduan tenaga antara ibu bapa, penjaga dan masyarakat serta pihak sekolah. Atur cara dipenuhi dengan slot kuiz koperasi, persembahan nyanyian, cabutan bertuah, majlis penyampaian hadiah, pelbagai acara sukan seperti bola tampar, bola sepak, selain pameran, pertandingan pakaian beragam, mini zoo dan gotong-royong. Sebanyak 300 buah gerai mengambil bahagian dengan penglibatan lebih 1,800 pelajar dan 130 guru.

Karnival Koperasi Dan Keusahawanan merupakan manifestasi kebersamaan koperator dalam menjayakan hasrat negara, melahirkan modal insan berkualiti, demi kemakmuran negara pada masa hadapan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional, Rancangan Malaysia Ke-11 dan Dasar Koperasi Negara. Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji

Mohamad Ali Hasan berkata, koperasi sekolah sejak diasaskan 50 tahun lalu, mempunyai aspirasi yang sama dalam melahirkan modal insan berkualiti yang merupakan satu keperluan dalam konteks global. Menurut beliau, untuk berjaya, pencapaian akademik perlu diaplikasikan dengan latihan bagi mendapatkan pengalaman. Koperasi sekolah merupakan tempat paling lengkap untuk pelajar berniaga, mentadbir serta memperoleh kemahiran yang tidak diajar dalam kelas.

» Air minuman salah satu produk keluaran SMK Bukit Rahman Putra.

September 2018 PELANCAR

39

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease