Wadah PELANCAR Edisi September 2018

Pahang Zon 2

LAHIRKAN USAHAWAN WANITA DALAM KOPERASI » Pengerusi JPAN Pahang Zon 2, Haji Mansor Ab. Rahman bergambar bersama peserta program.

Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ

ANGKASA sentiasa memberi keutamaan terhadap agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita menerusi pelbagai program latihan dan pendidikan supaya dapat memberi sumbangan secara lebih signifikan kepada gerakan koperasi.

Melalui pelbagai program yang dilaksanakan, ANGKASA telah melatih kira-kira 18,561 koperator wanita sejak 2014 dalam usaha untuk memperkasa pembangunan modal insan selain mewujudkan peluang-peluang perniagaan baharu. Di samping itu, ia juga membantu meningkatkan produktiviti koperasi serta melahirkan lebih ramai koperator yang berkaliber untuk menjadi usahawan dan pemimpin koperasi. Demikian antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Pahang Zon 2, Haji Mansor Ab. Rahman bagi mewakili Presiden ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah pada Program Keusahawanan Wanita 2018 anjuran JPAN Pahang Zon 2 bertempat di Hotel Seri Malaysia Temerloh. Katanya, dalam usaha membantu koperasi wanita kembali aktif menceburi aktiviti keusahawanan, ANGKASA memperkenalkan Bengkel Pemurniaan Koperasi Wanita Dan Keluarga bertujuan meningkatkan produktiviti koperasi di samping membuka peluang kepada koperator wanita menjalankan aktiviti dan memulakan perniagaan koperasi. Ujarnya, komuniti wanita memainkan peranan penting dalam memajukan gerakan koperasi di negara ini apabila terbukti sebanyak 40 peratus daripada 6.5 juta anggota koperasi adalah wanita. Mereka adalah pengguna dan tenaga kerja utama sektor koperasi. “Usahawan mikro wanita kini menyumbang 25 peratus kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ini jelas menunjukkan mereka mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

“Wanita antara golongan yang semakin ramai menceburi bidang perniagaan dan ini terbukti melalui statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sejumlah 49 peratus populasi rakyat Malaysia adalah wanita dan sebanyak 48 peratus merupakan tenaga kerja manakala menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula menyaksikan seramai 1.18 juta usahawan wanita berdaftar sehingga Mac 2017,” katanya. Program Keusahawanan Wanita 2018 anjuran JPAN Pahang Zon 2 ini melibatkan penyertaan seramai 40 koperator wanita sekitar Pahang Zon 2 yang bermatlamat mempertingkatkan kemahiran dan keilmuan koperator wanita dalam bidang perniagaan dan keusahawanan dalam koperasi. Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan iaitu; 1. Kertas Kerja 1 : “Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri Dan Kesihatan ANGKASA” oleh Pengurus Unit, Encik Jamar Mat Ali. 2. Kertas Kerja 2 : “Peranan SKM Dalam Memperkasakan Koperasi Wanita” oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Norlelah Samsudin. 3. Kertas Kerja 3 : “Peningkatan Dan Pengukuhan Usahawan” Oleh Pegawai Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA (KOPSYA), Encik Zulakmal Mohd Zahidi. 4. Kertas Kerja 4 : “Peranan Infaq Lil-Waqf Dalam Membentuk Ciri-Ciri Keusahawanan Wanita Islam” oleh Pegawai Unit Kutipan dan Pengurusan Dana Infaq Lil-Waqf ANGKASA, Encik Abdul Hafis Mohd Saiden. 5. Kertas Kerja 5 : Bicara Tokoh “Saiditina Khadijah” oleh Imam Masjid Abu Bakar Temerloh, Al Fathil Ustaz Haji Mohd Fairuz Ismail.

42 PELANCAR September 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease