Terengganu
Sokong Pelan Pembangunan Sektor Koperasi
Oleh : WAN ADLINA WAN AB. AZIZ
» Wakil ANGKASA Terengganu yang diketuai Pengerusi JPAN Haji Mohamed Yusoff (tiga dari kiri) bergambar bersama YB Mohd Nurkhuzaini AB. Rahman (empat dari kiri)
Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Penjaja akan terus memberi sokongan berterusan kepada gerakan koperasi di Terengganu ke arah memastikan kekuatan dan kelestariannya lebih terjamin.
Pengerusinya, YB Mohd Nurkhuzaini AB. Rahman mengakui bahawa gerakan koperasi banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan komitmen yang ditunjukkan oleh ANGKASA sebagai Badan Puncak Gerakan Koperasi di Malaysia wajar disokong demi menjamin kesejahteraan anggota dan rakyat secara keseluruhannya. Menurutnya, sektor koperasi telah melahirkan ramai usahawan berjaya melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan. Hal tersebut sekaligus dapat membantu gerakan koperasi sehingga mampu membentuk imej tersendiri yang disegani sama ada di peringkat tempatan mahu pun antarabangsa. “Koperasi memiliki potensi ke arah kemajuan dan pembangunan perniagaan dan usaha serta momentum ini perlu dipertingkatkan lagi supaya kekuatan ekonomi sesebuah koperasi berada pada tahap yang membanggakan di samping memberi keyakinan tinggi kepada anggota dan masyarakat terhadap sektor koperasi. “Keyakinan masyarakat terhadap koperasi sewajarnya dipupuk di peringkat awal lebih-lebih lagi di peringkat koperasi sekolah seterusnya diperkukuh di peringkat koperasi dewasa,” katanya ketika menerima kunjung hormat wakil ANGKASA Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Delegasi ANGKASA diketuai Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Terengganu, Haji Mohamed Yusoff bersama empat yang lain iaitu Timbalan Pengerusi, Haji Yaakub Mohd; Setiausaha, Haji Alias @ Abdul Karim Mustaffa; Bendahari, Haji Shikh Badruden Shikh Ismail dan Ahli Jawatankuasa, Dr. Haji Ibrahim Hussin selain diiringi Pegawai ANGKASA Negeri, Puan Nur Izzati Salleh. Dalam pertemuan tersebut, Haji Mohamed menyatakan, ANGKASA Terengganu sedia berkerjasama dengan Kerajaan Negeri khususnya dalam meningkatkan pembangunan dan kemajuan gerakan koperasi menerusi aktiviti yang bersesuaian. Ujarnya, berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada tahun lalu, Terengganu memiliki sejumlah 709 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 234,534 orang; yuran syer bernilai RM257.98 juta dan aset RM636.67 juta serta perolehan berjumlah RM460.29 juta. Beliau juga turut memberi penerangan tentang perkembangan gerakan koperasi khususnya di Terengganu dan peranan ANGKASA sebagai Badan Puncak Gerakan Koperasi Negara.
September 2018 PELANCAR
47
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease