Wadah PELANCAR Edisi Julai 2018

Prestasi Tadbir Urus Koperasi Di Malaysia

Oleh : ABDUL AZIZ MOHAMAD YUNUS Pengurus Bahagian Pengurusan Risiko, Tadbir Urus dan Integriti

Koperasi didefinisikan sebagai “sebuah persatuan manusia yang berautonomi, bergabung secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi bersama dalam bidang ekonomi, sosial dan budaya melalui pertubuhan yang dimiliki bersama dan dikawal secara demokratik” (International Co-operatives Alliance, 1995).

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab koperasi memastikan pengurusan dan pentadbiran mereka berkeadaan baik bagi mencapai matlamat yang disasarkan. Secara tidak langsung orang awam akan mula melibatkan diri dengan koperasi. Penglibatan mereka secara langsung akan meningkatkan jumlah pendapatan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Namun, pada masa kini pencapaian prestasi koperasi masih kurang memberangsangkan. Walaupun sokongan besar diterima daripada pihak kerajaan dan agensi- agensi dibawahnya, tetapi koperasi masih berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang menjejaskan pembangunan, kestabilan dan pertumbuhannya (KPDNKK & SKM, 2010). Antara isu yang diberi perhatian oleh SKM terhadap koperasi ialah isu tadbir urus. Koperasi disaran untuk memastikan perlaksanaan tadbir urus yang baik yang merupakan faktor kritikal kepada kejayaan gerakan koperasi (SKM, 2012). Tadbir urus koperasi yang kurang berkesan perlu ditangani segera kerana gerakan koperasi di Malaysia masih dianggap kurang membangun jika dibandingkan dengan negara-negara lain (SKM, 2012).

Memang tidak dinafikan bahawa koperasi adalah entiti penting yang mampu menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan. Kepentingan sektor koperasi kepada ekonomi sesebuah negara dapat dilihat melalui penubuhan koperasi yang tinggi di negara-negara membangun seperti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan serta negara-negara perindustrian seperti di Eropah dan Amerika Utara (Azmah & Fatimah, 2008). Terdapat banyak negara-negara membangun menjadikan koperasi sebagai penyumbang kepada pembangunan utama ekonomi bagi merealisasikan matlamat “Millennium Development Goals” (MDGs) (Birchall, 2004). Di Malaysia, kerajaan telah menfokuskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) agar sektor koperasi dapat menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada pembangunan ekonomi negara selepas sektor awam dan swasta (Idris, Devi, & Hasrin, 2010). Justeru, Dasar Koperasi Negara 2011-2020 telah dilancarkan pada 16 Julai 2010 bagi menyediakan platform kepada gerakan koperasi untuk membangun dan mengukuhkan peranan koperasi dalam konteks pembangunan ekonomi negara (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) & Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), 2010).

46 PELANCAR Julai 2018

46 PELANCAR Julai 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease