Wadah PELANCAR Edisi April 2018

ANGKASA Perkenal Program EMAS Untuk Pesara

» Dato’ Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TA Investment Management Bhd, Datin Alicia Tiah (dua dari kanan) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dengan TA Investment Management Bhd.

Oleh : RAHMAT MOHD DID

MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ANGKASA dengan TA Investment Management Berhad telah menandatangani perjanjian persefahaman bagi melaksanakan Program Eksklusif Manfaat Medikal Pesara (EMAS) yang dijangka bermula Mei ini.

» Sesi sidang media

Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata, jalinan kerjasama ini adalah sebahagian daripada rancangan berterusan ANGKASA ke arah menyokong keperluan kerajaan untuk terus meningkatkan sektor penjagaan diri dan kesihatan dengan menyediakan Skim Perlindungan Perubatan dan Hayat dengan harga mampu milik terutamanya kepada golongan berusia dan berisiko tinggi. “Program EMAS ini menyasarkan anggota-anggota koperasi serta mereka yang telah menghampiri usia persaraan bermula dari 60 tahun hingga 80 tahun.

Program berkonsepkan Takaful yang ditawarkan itu juga terbuka kepada semua anggota koperasi dan mereka bebas memilih sama ada untuk menyumbang secara bulanan, tahunan atau pembayaran secara sekaligus dengan anggaran kos setiap ahli setahun adalah kurang daripada RM 2,000,” katanya. Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd dan TA Investment Management Bhd di ibu pejabat ANGKASA. Tambah beliau lagi, Program EMAS ini diwujudkan sebagai pilihan kepada program insurans sedia ada

dan merupakan inisiatif bagi membantu anggota koperasi yang bersara untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan pada harga yang berpatutan. “Jika program ini berjaya di Malaysia, Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) akan mempromosikan EMAS ke peringkat ASEAN yang mempunyai lebih dari 60 juta orang anggota koperasi,” tambahnya. Turut hadir ialah Timbalan Presiden ANGKASA, Haji Mutadho Bahri; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TA Investment Management Berhad, Datin Alicia Tiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyANGKASA Holdings Sdn Bhd, Encik Shaharudin Mohammed.

42 PELANCAR April 2018

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease