Wadah PELANCAR Edisi April 2018

Selain itu, kejiranan koperasi perumahan akan menyediakan peluang pekerjaan kepada anggota dalam pelbagai bidang. Ruang kedai dan ruang niaga yang disediakan akan membolehkan anggota berpeluang untuk mengembangkan perniagaan dan ekonomi. Oleh yang demikian, seharusnya ruang perniagaan dan ekonomi harus dimonopoli oleh anggota. Penglibatan anggota koperasi dalam peluang perniagaan yang disediakan akan membantu meningkatkan ekonomi anggota. Kawasan kediaman koperasi akan menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk perkembangan sosial anak-anak anggota. Kemudahan seperti taman rekreasi untuk anggota bersosial akan merapatkan hubungan kejiranan anggota. Taman permainan kanak-kanak memberikan kemudahan untuk anak-anak bermain dengaan anak jiran yang lain. Kemudahan pendidikan seperti sekolah dan tadika akan menyediakan peluang suasana yang lebih mesra pendidikan. Semua kemudahan itu harus disediakan di taman koperasi bagi membolehkan persekitaran koperasi diwujudkan untuk anak- anak anggota. Aspek keselamatan juga seharusnya diberi keutamaan. Ini bagi memastikan anggota koperasi merasa selamat bila berada dalam kawasan kejiranan. Kes pecah rumah dan kecurian akan menyebabkan anggota merasa tidak selamat di dalam kawasan kejiranan koperasi. Koperasi harus bertanggungjawab dalam isu keselamatan dan menjadi aspek yang tidak boleh pandang ringan. Kemudahan kawalan keselamatan akan mengurangkan risiko jenayah dan memberi keyakinan kepada anggota dan anak-anak anggota. Mesyuara Agung Tahunan koperasi harus diadakan tepat pada masanya. Ini akan memberi peluang kepada anggota untuk menyuarakan pandangan terhadap projek perumahan yang dibangunkan oleh koperasi. Lembaga dan pengurusan harus menyediakan laporan yang benar dan telus untuk pertimbangan anggota. Keputusan penting mengenai koperasi harus diluluskan dengan sokongan anggota. Pandangan anggota akan membantu Anggota Lembaga Koperasi (ALK) menambahbaik pengurusan taman-taman perumahan milik koperasi. Pengerusi Jawatankuasa Sektor Pembangunan Hartanah ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan yang juga merupakan Naib Presiden ANGKASA berharap agar koperasi perumahan mempertahankan prinsip dan nilai koperasi dalam membangunkan projek serta memperjuangkan agar setiap anggota memiliki rumah idaman masing-masing. Katanya, jika koperasi membina rumah untuk tujuan komersial sekalipun, harga rumah yang ditawarkan kepada anggota mestilah lebih mesra koperasi berbanding dengan harga yang ditawarkan kepada bukan anggota. Ini bagi memastikan matlamat asal penubuhan koperasi perumahan tercapai.

Dana bagi koperasi perumahan diperolehi dari pelbagai sumber sama ada dana dalaman atau pinjaman dari intitusi kewangan milik koperasi atau swasta. Paling utama, projek perumahan ini dapat dimiliki dan diuruskan oleh koperasi. Anggota koperasi pula akan diberi keutamaan untuk memiliki atau menduduki sebahagian besar dari perumahan tersebut termasuk ruang-ruang perniagaan. Pemilikan rumah koperasi tidak seharusnya membebankan anggota dengan masalah kewangan bila membeli rumah tersebut. Harga yang mampu milik serta syarat pinjaman yang mesra koperasi akan membantu tahap sosioekonomi anggota. Koperasi tidak seharusnya memikirkan faktor keuntungan semata-mata dalam pembinaan projek perumahan. Tindakan koperasi menjual rumah kepada anggota dengan harga pasaran tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah perumahan anggota. Kegagalan koperasi mengutamakan keperluan anggota menyebabkan koperasi gagal memenuhi matlamat penubuhan koperasi perumahan serta dianggap tidak mempunyai jati diri koperasi. Taman perumahan koperasi akan mewujudkan komuniti koperasi yang memenuhi kehendak sosio budaya yang diperlukan oleh anggota. Melalui koperasi perumahan, anggota akan lebih peka dengan masalah koperasi semasa. Pembentukan komuniti koperasi ini akan membolehkan satu budaya kejiranan koperasi yang besar dapat diwujudkan. Maklumat koperasi juga akan mudah disampai melalui kejiranan koperasi.

» Gambar hiasan

April 2018 PELANCAR

55

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease