Sekiranya dana koperasi cukup kuat, koperasi hanya perlu menanggung risiko berniaga sahaja seperti harga emas yang turun naik. Tetapi jika sebaliknya, koperasi terpaksa menanggung kos dana tambahan seperti hutang yang perlu dibayar mengikut jadual. Tabung pendidikan juga harus diberi perhatian oleh anggota dalam membangunkan sesebuah koperasi. Ia menjadi suntikan semangat dalam usaha melahirkan modal insan yang pasti akan memberi sumbangan yang lebih besar kepada pembangunan sosio ekonomi yang semakin berkembang. Pada masa yang sama, budaya atau sikap suka menjatuhkan orang lain dalam pucuk pimpinan juga mesti dihentikan. Pemilihan pucuk pimpinan juga mestilah dilaksanakan melalui proses yang bersih. Sekiranya amalan dan sikap suka berpuak-puak itu berterusan, misi sesebuah koperasi yang ditubuhkan akan menjadi sukar. Memilih pemimpin koperasi juga haruslah dilaksanakan secara berhemah. Gerakan koperasi sebagai sektor ekonomi ketiga negara perlu direalisasikan oleh mereka yang mempunyai jiwa kepimpinan yang tinggi dan bersemangat sebagai satu pasukan. Sekiranya anggota tidak menyokong pemimpin sedia ada, pembangunan akan menjadi lebih sukar untuk dilaksanakan dan ia pasti akan merugikan anggota dan koperasi dalam jangka panjang. Penglibatan anggota dalam Mesyuarat Agung Tahunan koperasi yang dianjurkan pada setiap tahun juga sangat penting. Ini kerana keputusan anggota yang ramai akan menentukan pelaksanaan sesuatu perancangan tersebut dapat berjalan dengan lancar. Idea dan komen daripada anggota sudah pasti dapat merangsang kepada pertumbuhan aktiviti dan perjalanan tadbir urus koperasi yang disertai. Kehadiran dan suara daripada anggota juga akan dapat menjadi petunjuk kepada kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai kejayaan buat koperasi.
Pengurusan koperasi turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjana pembangunan koperasi. Selain sistem pengurusan yang cekap dan mantap, ia juga perlu mengutamakan amalan sistem tadbir urus baik dan pengurusan kewangan yang profesional, selain mahir dalam mengawal strategi pemasaran produk serta membina jaringan perniagaan yang lebih menyeluruh. Tindakan tersebut pula perlu disusuli dengan etika yang tinggi dan integriti yang mantap dalam diri Anggota Lembaga Koperasi (ALK) kerana mereka yang melaksanakan amanah anggota dan keputusan ramai dalam membina kejayaan koperasi. ALK dan anggota juga perlu peka dengan pasang surut senario serta kedudukan ekonomi semasa supaya projek yang dilaksanakan tidak terbengkalai dan memberi pulangan yang menguntungkan. Pada masa yang sama, projek yang dilaksanakan perlulah mengikut keperluan semasa anggota dan masyarakat, selain mengutamakan harga patut dan pada masa yang sama, memberi pulangan kepada koperasi. Ilmu pengurusan dan teknologi maklumat juga harus ditingkatkan dalam kalangan ALK dan pihak pengurusan. Sesuai dengan keadaan ekonomi yang banyak bergantung kepada kemajuan teknologi maklumat dalam mempromosikan produk dan membina kemajuan serta meningkatkan jaringan perniagaan. Bagi memastikan kejayaan sesebuah koperasi, anggota harus melihat koperasi sebagai penggerak ekonomi mereka, masyarakat dan negara. Mereka harus sama-sama menggerakkan koperasi, demi mengekalkan kelestarian kejayaan koperasi yang telah ditubuhkan.
Mei 2018 PELANCAR
13
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease