INFO SEMASA
9
Wadah
NOVEMBER 2025
Peningkatan Jumlah Saham Koperasi Ahli Bukti Kecemerlangan KOPSYA
Oleh: MOHD ZAKUAN AZMI
Pencapaian dan konsistensi tadbir urus cemerlang Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) telah terbukti berjaya sekali gus meningkatkan keyakinan ahlinya apabila sebanyak 53 buah koperasi ahli KOPSYA di Pulau Pinang bersetuju meningkatkan jumlah saham masing-masing. Majlis serahan rasmi saham dengan jumlah keseluruhan RM2,015,000 itu telah dibuat dalam satu Majlis Makan Malam bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib bertempat di Bertam Resort Penang, Pulau Pinang pada 11 November 2025. Pengerusi KOPSYA merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam ucapannya menyatakan rasa penghargaan dan terima kasih atas sokongan koperasi ahli yang terus memberikan kepercayaan terhadap KOPSYA menerusi peningkatan jumlah saham. Katanya, peningkatan jumlah saham bukan sahaja dapat membantu lebih banyak koperasi ahli meningkatkan pembangunan ekonomi melalui pelaburan perniagaan, malah jumlah keuntungan hasil pelaburan dan pinjaman yang disalurkan itu juga dapat memberi kesan positif terhadap masa depan KOPSYA dan seluruh koperasi ahlinya Menurut beliau, sebanyak 1,887 buah koperasi seluruh negara telah menjadi ahli KOPSYA dengan jumlah saham terkumpul sehingga kini sebanyak RM77.9 juta iaitu tambahan sebanyak RM9.5 juta berbanding tahun 2024. KOPSYA juga turut melakar kejayaan bermakna pada tahun ini apabila diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai koperasi ke -17 dalam rekod 100 Koperasi Terbaik Negara. Kejayaan itu katanya jelas membuktikan tahap kekukuhan dan kecemerlangan KOPSYA yang telah berusia 14 tahun. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi KOPSYA merangkap Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Dato' Ahmad Jamil Hashim, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, barisan Naib Presiden ANGKASA, barisan Anggota Lembaga KOPSYA dan barisan Pengerusi Jawatankuasa ANGKASA Negeri serta barisan Anggota Jawatankuasa ANGKASA Negeri Pulau Pinang.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato' Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib (duduk, tengah) bergambar bersama barisan kepimpinan Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA Berhad (KOPSYA) dalam satu Majlis Makan Malam di Bertam Resort Penang, Pulau Pinang pada 11 November 2025.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menerima cek penambahan saham KOPSYA daripada salah satu koperasi sambil disaksikan oleh TYT Tun Dato' Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease