WADAH PELANCAR EDISI MEI 2025

11

ACO Yakin Malaysia Boleh Angkat Isu Koperasi ke Peringkat Tertinggi ASEAN

Mesyuarat Agung Tahunan ASEAN Co-operative Organization (ACO) yang telah diadakan di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya Selangor pada 12 Mei 2025 dipengerusikan oleh Pengerusi ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah .

Oleh: NADIAH KAMARUDIN

ASEAN Co-operative Organization (ACO) menaruh kepercayaan penuh kepada kerajaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, untuk mengetengahkan isu serta peranan sektor koperasi ke peringkat tertinggi Komuniti ASEAN. Negara-negara anggota ACO juga sebulat suara menyatakan sokongan untuk memperkukuh peranan gerakan koperasi dalam rangka kerja serantau ASEAN, sekali gus mengangkat agenda koperasi ke peringkat komuniti rantau itu. Demikian dinyatakan oleh Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dalam sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan ACO yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor pada 12 Mei 2025. “Kita mahu peranan koperasi diangkat setaraf dengan sektor lain dalam pembangunan serantau dan menjadi ‘enjin ketiga’ dalam menjana pembangunan sosial dan ekonomi negara-negara ASEAN,” katanya. Ujarnya lagi, sokongan tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk memperjuangkan pengiktirafan koperasi sebagai pemacu ekonomi serantau, menyeru agar koperasi diberikan layanan yang adil dalam dasar dan polisi nasional serta serantau, menyokong ACO sebagai entiti koperasi pusat dalam ASEAN dan memperkukuh kerjasama serantau di bawah penyelarasan ACO. Beliau yang juga Presiden ANGKASA turut menyuarakan harapan agar lebih 300,000 koperasi di seluruh ASEAN yang mewakili sekitar 65.7 juta ahli dapat terus diperkasakan. "Ini selaras dengan peranan besar gerakan koperasi yang menyumbang antara tiga hingga lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN — bersamaan antara US$111 bilion hingga US$185 bilion daripada jumlah keseluruhan KDNK ASEAN pada tahun 2024 yang berjumlah US$3.67 trilion," jelasnya.

Mesyuarat Agung Tahunan ACO dihadiri oleh 26 individu yang mewakili anggota dan rakan sekutu ACO dari lapan negara anggota ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei, Singapura, Filipina, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Timor Leste.

Mesyuarat Agung Tahunan ACO dihadiri oleh 26 individu yang mewakili anggota dan rakan sekutu ACO dari lapan negara anggota ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei, Singapura, Filipina, Kemboja, Thailand, Indonesia dan Timor Leste. Sebanyak 14 agenda telah dibentangkan dalam mesyuarat kali ini antaranya termasuk pengesahan minit Mesyuarat Agung Tahunan ACO pada 6 Jun 2024, pembentangan laporan aktiviti dan program ACO dari Januari hingga Mei 2025 serta laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024. Turut dibentangkan ialah perkembangan terkini Program Jelajah ASEAN yang memberi tumpuan kepada advokasi dan penyampaian maklumat mengenai koperasi di peringkat serantau dan pembentangan mengenai penubuhan Jawatankuasa Sektoral ACO. Turut berlangsung ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) dengan Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) yang memfokuskan kepada kerjasama pengembangan perniagaan. MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi

Lembaga KKAIMB, Haji Saad Ishak manakala DEKOPIN diwakili oleh Timbalan Pengerusinya merangkap Naib Presiden 1 ACO, Dr. Agung Sudjatmoko. MoU itu merupakan batu loncatan kepada KKAIMB untuk memanfaatkan jaringan serta rangkaian DEKOPIN dalam usaha mengembangkan perniagaan berasaskan pelancongan yang sedang diteroka. Ia juga menjadi bukti bahawa kerjasama rentas sempadan antara koperasi mampu membawa manfaat dan kebaikan kepada koperator di Malaysia dan Indonesia. Hadir sama ialah Setiausaha Agung ACO merangkap Naib Presiden ANGKASA, Dato' Haji Kamarudin Ismail, Bendahari ACO merangkap Timbalan Presiden ANGKASA, Dr. Mohd Azlan Yahya, Ahli Jawatankuasa Kerja ACO, iaitu Penasihat Korporat (Sektor Kerajaan) ANGKASA, Datuk Ahmad Jamil Hashim, Penasihat Korporat (Sektor Koperasi) ANGKASA, Datuk Haji Md. Yusof Haji Samsudin dan Mr. Ahlai Muniandy, Pengurus Besar Kanan Kumpulan Hubungan Strategik ANGKASA, Dr. Hajah Salmah Haji Ishak serta Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor, Dato' Haji Mohd Alias Hamzah.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease