5
Resolusi ACD 2025 Bakal Diserah kepada Kepengerusian ASEAN 2025
Oleh: WAN ADLINA WAN AB AZIZ
Gerakan koperasi di rantau ASEAN mencipta detik bersejarah pada 14 Mei 2025 apabila penganjuran program ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD 2025) yang julung kalinya diadakan bersempena Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa dan Kepengerusian ASEAN 2025 menyaksikan penyerahan resolusi ACD 2025 secara rasmi kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan. Penyerahan resolusi ini hasil daripada suara gerakan koperasi di peringkat rantau ASEAN dan telah disampaikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah pada Majlis Penutupan Gala Dinner ASEAN Co-operative Dialogue (ACD 2025) bertempat di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Mei 2025. Resolusi yang mengandungi empat perkara itu bakal diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Kepengerusian ASEAN 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei 2025. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud, Secretary of State for Co-operatives Timor Leste , Tuan Yang Terutama (TYT) Arsenio Pereira da Silva, Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa - Asia Pasifik (ICA-AP), Mr. Balasubramanian (Balu) G. Iyer, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Mohd Ali Mansor dan barisan pegawai-pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyerahkan Resolusi ASEAN Co-operative Dialogue 2025 (ACD 2025) kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan pada Majlis Penutupan Gala Dinner ACD 2025 di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor pada 14 Mei 2025.
Penyerahan resolusi tersebut kepada kerajaan adalah sebagai bukti mewakili suara gerakan koperasi di peringkat rantau ASEAN dalam menyatakan pendirian teguh terhadap keperluan dan kehendak sebenar menjadikan gerakan sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan ekonomi serantau. Selain itu, dokumen rasmi berkenaan juga turut meletakkan gerakan koperasi pada peringkat yang lebih tinggi dalam agenda ASEAN, sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi ekonomi rentas sempadan yang lebih terbuka, berdaya tahan, inklusif dan strategik. Dato’ Sri Ramanan dalam ucapan penutupannya menyatakan, beliau berbangga dengan pencapaian gerakan koperasi di Malaysia sebagai antara pemain utama dalam landskap ekonomi negara dan rantau ASEAN, meliputi sumbangan dalam
sektor pertanian, kewangan, pendidikan dan perkhidmatan dalam memupuk penyertaan ekonomi yang adil dan saksama. “Sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berbangga untuk memperlihatkan kepimpinan dalam memperjuangkan koperasi sebagai pemacu utama kepada transformasi sosioekonomi. Tambahan pula, Pelan Tindakan ASEAN untuk koperasi adalah kerangka penting yang menjadi asas kepada pengukuhan sektor koperasi di seluruh Asia Tenggara, sejajar dengan Pelan Induk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang menjadi visi kolektif bagi integrasi ekonomi serantau,” ujarnya. Seramai 500 tetamu jemputan hadir terdiri daripada delegasi tempatan dan luar negara iaitu melibatkan wakil badan induk koperasi kebangsaan (apex bodies) , wakil Pendaftar Koperasi negara ASEAN, wakil kementerian/ agensi kerajaan berkaitan koperasi, pemimpin koperasi peringkat nasional dan serantau serta tokoh-tokoh penting koperasi antarabangsa, termasuk perwakilan daripada ICA-AP.
YB Dato’ Sri Ramanan (tengah) dan Datuk Seri Dr. Abdul Fattah (tiga dari kanan) bersama tetamu kenamaan lain dalam Majlis Penutupan Gala Dinner ASEAN Co-operative Dialogue (ACD 2025). Turut sama ialah Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato' Sri Khairul Dzaimee Daud (tiga dari kiri), Secretary of State for Co-operatives Timor Leste , Tuan Yang Terutama Arsenio Pereira da Silva (dua dari kiri), Pengarah Serantau Ikatan Koperasi Antarabangsa - Asia dan Pasifik, Mr. Balasubramanian (Balu) G. Iyer (dua dari kanan), Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) (kiri sekali) dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor (kanan sekali).
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease