2
APRIL 2021
DARI MUKA 1
Tan Sri Muhyiddin sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Pelan Transformasi Koperasi Malaysia atau TransKoM 2021-2025 pada 30 Mac 2021 di Kuala Lumpur menegaskan bahawa transformasi secara menyeluruh terhadap gerakan koperasi perlu dilaksanakan bagi memperkasa dan memantapkan lagi peranannya supaya terus mampan selain dapat dilonjakkan ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan zaman digitalisasi. “Sekiranya semua gerakan koperasi bergerak secara proaktif dan bersepadu, sudah pasti setiap anggotanya akan menerima manfaat dan peningkatan dari segi taraf sosioekonomi dan impaknya adalah sangat besar kepada negara kita. Justeru, wajarlah gerakan koperasi menjadi wahana dalam memacu dan memaju sosioekonomi rakyat bagi mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujar beliau. TransKoM 2021-2025 yang menggariskan sebanyak 5 Bidang Tujahan, 20 Langkah Strategik dan 36 Program serta Aktiviti akan menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi secara lebih progresif dan berdaya saing, seterusnya dapat menjamin kelangsungan gerakan koperasi dan
menjadi penyumbang utama terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan sosioekonomi masyarakat. “Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 – 2025 atau TransKoM yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ini adalah bertepatan dalam menjadi paksi transformasi kepada gerakan koperasi di Malaysia,” ujar beliau. Katanya lagi, pandemik Covid-19 secara tidak langsung juga telah mengajar kita tentang erti bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Semangat kerjasama
ini juga merupakan prinsip asas gerakan koperasi. Peranan yang dimainkan oleh koperasi dalam mengenal pasti anggota yang terjejas dan menyalurkan bantuan yang diperlukan, mencerminkan keprihatinan koperasi kepada masyarakat. Perdana Menteri turut menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sektor koperasi terutamanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia, ANGKASA serta gerakan koperasi agar memberikan kerjasama dan komitmen yang padu dan berterusan dalam melaksanakan anjakan trasformasi yang
dibawa melalui TransKoM 2021-2025. “Saya mahu semua 14,668 koperasi yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia menjadi lebih aktif dan bersama- sama meningkatkan prestasi ekonomi negara,” katanya. Beliau juga mahu semua koperasi dapat bergerak secara lebih aktif malah menyeru koperasi dorman supaya bangkit semula dan menjadi sebuah koperasi yang lebih dinamik serta berjaya. Sementara itu dalam ucapan alu-aluan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato' Sri Dr. Wan Junaidi
Tuanku Jaafar menyatakan keyakinan bahawa gerakan koperasi berupaya untuk kembali aktif dan memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada ekonomi negara. Katanya, TransKoM 2021-2025 merupakan dokumen strategik yang menggariskan langkah- langkah transformasi bagi memperkasakan Gerakan Koperasi di Malaysia dan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi anggota koperasi dan masyarakat di Malaysia. Beliau juga yakin pelan transformasi tersebut akan dapat membantu mengembalikan semula semangat perjuangan asal penubuhan koperasi dan akhirnya dapat memastikan kebajikan sosioekonomi anggotanya terus dijaga. Antara yang hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Haji Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Menteri Pendidikan 1, Tuan Muslimin Yahaya; Ketua Setiausaha MEDAC, Dato' Suriani Dato' Ahmad; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar dan Presiden ANGKASA, Dato' Abdul Fattah Abdullah. Majlis pelancaran TransKoM 2021-2025 turut diserikan dengan kehadiran pemimpin koperasi yang berkumpul di setiap negeri bagi bersama-sama menyaksikannya secara dalam talian. Majlis diakhiri dengan pelancaran buku TransKoM dan sesi penyampaian cek pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) serta Program Pembiayaan Koperasi oleh Bank Rakyat kepada beberapa buah koperasi terpilih.
YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia melancarkan buku Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025.
YAB Perdana Menteri bergambar bersama tetamu di majlis pelancaran TransKoM 2021-2025.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease