9 ANGKASA
OKTOBER 2021
Bantu Bekalan Darah Negara
Koperasi Diseru Anjur Kempen Derma Darah
Oleh RAHMAT MOHD DID
ANGKASA dengan kerjasama Pusat Darah Negara telah menganjurkan Kempen Derma Darah CoopCare bagi membantu bekalan darah yang telah menurun ke paras bawah selamat berikutan pandemik COVID-19 . Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA menyeru koperasi dan anggota koperasi di seluruh Malaysia untuk menganjur atau menyertai kempen derma darah demi meningkatkan stok bekalan darah negara sekali gus memastikan keupayaan rawatan pesakit yang memerlukan tidak terjejas. “ANGKASA sentiasa menjunjung prinsip ketujuh koperasi iaitu ‘Prihatin kepada Masyarakat’ dan kempen ini dianjurkan atas dasar cakna dengan kesulitan yang dihadapi oleh Pusat Darah Negara ekoran kurangnya kempen derma darah oleh pihak swasta serta penurunan bilangan penderma yang tampil menderma darah ekoran pandemik COVID-19. “Menurut statistik, hanya 171,106 beg darah didermakan pada tahun 2020 berbanding 199,721 beg pada tahun 2019 dan ini menunjukkan penurunan sebanyak 14.3 peratus,” ujar beliau. Tambahnya lagi, kempen yang dilaksanakan secara tahunan oleh ANGKASA ini menyasarkan penglibatan 100 orang kakitangan dan ahli keluarga warga ANGKASA. Menurut maklumat daripada Pusat Darah Negara, sebanyak 2,000 beg darah diperlukan setiap hari di seluruh negara untuk kegunaan 1,000 orang pesakit termasuklah di Pusat Darah Negara yang perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 500 penderma darah setiap hari bagi kegunaan lebih dari 60 buah hospital di Lembah Klang. “Stok darah ini sentiasa diperlukan untuk merawat pesakit seperti contoh mereka yang terlibat dengan kemalangan, pesakit yang menjalani pembedahan, individu yang mempunyai penyakit berkaitan darah seperti kanser dan lain-lain. Bukan sahaja kita dapat membantu menyelamatkan nyawa seseorang, malah kita juga dapat mengesan masalah kesihatan sendiri kerana terdapat proses pemeriksaan dijalankan sebelum menderma darah. Saya yakin dan percaya aktiviti menderma darah adalah selamat kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) antarabangsa dan langkah keselamatan yang tinggi,” jelasnya lagi. Dato’ Dr. Abdul Fattah berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke lokasi Kempen Derma Darah CoopCare di ibu pejabat ANGKASA, Kelana Jaya pada 27 September 2021. Hadir sama dalam program tersebut adalah Timbalan Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Kamarudin Ismail; Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah; Pengerusi JPAN Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Abdul Razak Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya.
Meninjau kaunter pemeriksaan kesihatan dan jenis darah penderma.
Dato’ Dr. Abdul Fattah menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penderma.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease