13 ANGKASA
DISEMBER 2021
Aplikasi Corak Perniagaan Koperasi Ikut Perkembangan Semasa
Oleh MOHD ZAKUAN AZMI
ANGKASA perlu mengaplikasikan corak perniagaan yang lebih ke hadapan dan sesuai dengan perkembangan sosioekonomi semasa. Usaha tersebut dilihat sangat penting kerana sektor perniagaan koperasi perlu sentiasa bergerak dan sebolehnya mendahului apa yang dilakukan oleh pesaing. Demikian saranan Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato' Dr. Abdul Fattah Haji Abdullah kepada seluruh kepimpinan ANGKASA semasa berucap merasmikan Bengkel Retreat Pembangunan Perniagaan ANGKASA Bil. 2/2021 di Port Dickson. Katanya, semua pelan perniagaan yang dirancang perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan terancang bagi memastikan perjalanannya berjalan dengan lebih lancar dan berkesan. "Bengkel ini juga menjadi platform ke arah memacu ANGKASA ke hadapan. Namun, harapan tinggi yang diletakkan ini perlulah selari dengan tugas dan tanggungjawab yang pastinya besar. Perkara ini penting sebagai era baharu kepada masa depan yang lebih baik seperti yang dirancang dan ditetapkan. Ini juga demi masa depan dan kepentingan sosioekonomi warga koperasi itu sendiri," jelas beliau. Seramai lebih 80 peserta hadir dalam bengkel selama tiga hari bermula 14 Disember 2021 melibatkan barisan Anggota Lembaga, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN), barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja yang terlibat. Sebelum itu, majlis bermula dengan ucapan aluan oleh Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Strategik, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan.
Dato' Dr. Abdul Fattah menyampaikan ucapan perasmian.
Beberapa siri pembentangan telah dijalankan sepanjang tempoh tersebut seperti Prestasi Kewangan ANGKASA ke Arah Memperkasakan Perniagaan, Arah Hala Tuju Kewangan, Prestasi dan Pencapaian Perniagaan ANGKASA dan Subsidiari, Pembentangan Hala Tuju dan Pelan Strategik Anak Syarikat untuk Lima Tahun dan Pembentangan Laporan Status Projek ANGKASA. Sesi penggulungan bengkel telah dibentangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA, Haji Nasir Khan Yahaya manakala majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Sesi penutupan oleh Prof. Madya Dato' Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Datuk Haji Mohamad Ali Hassan bertindak sebagai moderator program.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease