WADAH PELANCAR EDISI JANUARI 2021

7

COOPCARE

CoopFarmasi KAKIB Mula Operasi Oleh: MOHD ZAKUAN AZMI

Selaras dengan objektif untuk meningkatkan kepentingan ekonomi dan sosial anggotanya, sebuah farmasi milik Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Perak (KAKIB) telah dibuka pada 9 Januari 2021 di premis bangunan kedai yang terletak di Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh, Perak. P residen ANGKASA, Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkesempatan mengunjungi farmasi tersebut pada keesokan harinya (10 Januari 2020) dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Perak, Haji Rosli Haji Basri dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat ANGKASA, Encik Halim Haji Ibrahim. Kunjungan beliau telah disambut barisan anggota jawatankuasa KAKIB yang diketuai pengerusinya, Encik Khairul Anuar Mohd Noh. Menurut Dato’ Abdul Fattah, CoopFarmasi KAKIB merupakan salah satu daripada tujuh rangkaian farmasi koperasi sedia ada di bawah program pembangunan koperasi ANGKASA melalui projek Pharma Wellness. ANGKASA juga katanya merancang untuk meningkatkan jumlah penyertaan koperasi dalam projek tersebut dengan sasaran sebanyak 16 coopfarmasi dalam masa terdekat serta berharap jumlah tersebut dapat ditingkatkan sehingga 100 rangkaian CoopFarmasi menjelang tahun 2025. Selain memperkasakan aktiviti jualan, ANGKASA juga melihat CoopFarmasi boleh berperanan sebagai platform kepada koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan seperti peluang membekalkan produk sampingan, ubat- ubatan dan lain-lain perkhidmatan berkualiti. Dato’ Abdul Fattah turut mengucapkan syabas dan tahniah atas pembukaan CoopFarmasi KAKIB dan berharap agar anggota koperasi tersebut yang berjumlah lebih enam ribu orang memberi sokongan padu bagi menjayakan matlamat sosioekonomi KAKIB. Apa yang menarik, CoopFarmasi KAKIB menawarkan diskaun pembelian sebanyak 10 peratus dengan tambahan lima peratus untuk anggota koperasi. Selain mewujudkan sistem pembelian secara atas talian, CoopFarmasi KAKIB juga menyediakan kemudahan penghantaran secara percuma dan khidmat pemeriksaan kesihatan. Sebagai permulaan, Coopfarmasi KAKIB dibuka setiap hari Isnin hingga sabtu bermula.pukul 9 pagi hingga 6 petang.

» Bangunan CoopFarmasi KAKIB di No. 122, Jalan Raja Musa Aziz, Ipoh, Perak.

» Pelbagai produk kesihatan dan barangan koperasi berkaitan dijual di CoopFarmasi KAKIB.

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease