WADAH PELANCAR EDISI SEPTEMBER 2021

13 ANGKASA

SEPTEMBER 2021

Galak Belia Tubuh Koperasi Oleh NADIAH KAMARUDIN

Koperasi perlu menggembleng usaha dan tenaga ke arah menggalakkan golongan belia menubuhkan koperasi selain meyakinkan mereka untuk menjadi anggota mana-mana koperasi berasaskan belia. Demikianlah antara inti pati utama webinar ‘Kerjasama Strategik Menjamin Kecemerlangan Belia Dalam Koperasi’ anjuran Bahagian Wanita dan Komuniti ANGKASA yang diadakan secara dalam talian pada 23 Ogos 2021. Seramai 115 peserta telah menyertai webinar ini yang telah dirasmikan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization, Dato’ Abdul Fattah Abdullah. Turut hadir ke webinar adalah Naib-Naib Presiden ANGKASA iaitu Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik. Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Abdul Fattah berkata, “sekiranya sukar untuk meyakinkan golongan belia menyertai mana-mana koperasi termasuk koperasi belia, maka perlu ada usaha bagi mendorong mereka (belia) untuk menubuhkan koperasi mereka sendiri”. Tambah beliau, pindaan Akta Koperasi 1993 (502) yang membolehkan hanya 20 anggota untuk menubuhkan koperasi berbanding 50 anggota sebelum ini, menjadi pemudah cara terhadap usaha bagi meningkatkan jumlah koperasi belia di negara ini. Suruhanjaya Koperasi Malaysia melaporkan, jumlah koperasi belia pada tahun 2020 adalah sebanyak 199 dengan keanggotaan seramai 85,697 orang. Jumlah tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan belia dalam negara iaitu seramai sembilan juta orang pada tahun yang sama. “Peningkatan jumlah koperasi belia akan memberi kesan secara langsung terhadap Pelan Jangka Sederhana (2021-2030) ANGKASA yang bertemakan ‘Koperasi Menjadi Pilihan Utama Perniagaan’. “Harapan ANGKASA adalah supaya mana-mana anak muda yang mahu memulakan perniagaan, mereka lebih cenderung untuk menubuhkan koperasi berbanding syarikat sendirian berhad atau milikan tungal,” ujar beliau. Webinar ‘Kerjasama Strategik Menjamin Kecemerlangan Belia Dalam Koperasi’ menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri (JPAN) Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin sebagai moderator dan barisan tiga panel yang mempunyai pengalaman luas dalam topik ini. Barisan tiga panel terdiri daripada Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Encik Mohammad Zaini Mohamud; Timbalan Pengerusi Exco Perindustrian, Ekonomi & Keusahawanan, Majlis Belia Malaysia, Puan Nurliana Muhammad dan Pengerusi Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad, Encik Zaiwin Kassim.

(Gambar merupakan dari program Global Youth Forum (GYF) – Cooperative Entrepreneurship 2020 yang telah diadakan berlangsung selama 5 hari bermula 3 Februari 2020 di Kuching, Sarawak.)

Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Encik Mohammad Zaini Mohamud.

Pengerusi JPAN Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin sebagai moderator webinar.

Timbalan Pengerusi Exco Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Belia Malaysia, Puan Nurliana Muhammad.

Pengerusi Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad, Encik Zaiwin Kassim.

Apa Kata Mereka?

“Kita perlu sedar bahawa koperasi yang berasaskan belia mempunyai daya tarikan yang lebih tinggi untuk menarik golongan muda menyertai gerakan koperasi berbanding koperasi-koperasi dewasa yang lain.Hal ini adalah kerana anak- anak muda mempunyai hubungan yang baik dan rapat dengan rakan- rakan sebaya mereka yang berkongsi minat yang sama dengan mereka.”

“Saya mencadangkan agar kerajaan melalui MEDAC untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas dalam agensi yang terlibat (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) untuk fokus terhadap melicinkan proses penubuhan koperasi belia. Geran permulaan juga boleh diberikan kepada koperasi belia yang berjaya ditubuhkan supaya boleh dijadikan sebagai modal permulaan untuk mereka (koperasi belia) merealisasikan idea perniagaan.”

“Antara usaha yang kini boleh digerakkan oleh mana-mana koperasi untuk menarik golongan belia adalah menjemput usahawan-usahawan muda bagi mengendalikan satu projek khas terutamanya dalam keusahawanan digital yang dibiayai oleh koperasi sendiri. Ini secara langsung menarik mereka (usahawan muda) untuk mengadakan kerjasama strategik dengan koperasi dan mendorong mereka untuk menjadi anggota.”

ENCIK MOHAMMAD ZAINI MOHAMUD Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

NURLIANA MUHAMMAD Timbalan Pengerusi Exco Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawanan, Majlis Belia Malaysia

ENCIK ZAIWIN KASSIM Pengerusi Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad

Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease