KOPERASI 19 ANGKASA
FEBRUARI 2023
MSPO Jamin Kelangsungan Pasaran Eksport Minyak Sawit Negara
Oleh WAN ADLINA WAN AB AZIZ
ANGKASA menyokong inisiatif kerajaan melalui pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) iaitu sijil pengiktirafan yang dapat menjamin kelangsungan pasaran eksport minyak sawit negara dan pemacuan harga sawit negara. Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, MSPO yang mula dimandatorikan pelaksanaannya sejak Disember 2020 merupakan dasar atau hala tuju kepada Industri Sawit Kebangsaan iaitu satu langkah penjenamaan peringkat antarabangsa. “Berdasarkan data yang dikeluarkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) selaku Badan Pengelola Pensijilan MSPO, sehingga kini seluas 6.56 juta hektar tanaman sawit telah disijilkan di bawah Pensijilan MSPO merangkumi pelbagai kategori termasuk pekebun kecil, peneroka dan estet.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah menyampaikan sijil kepada wakil Koperasi Serbaguna Anak-anak Selangor Berhad. Turut kelihatan ialah Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman (kiri sekali), Haji Zulkifly (dua dari tengah) dan Dr. Mohd Azlan Yahya (kanan sekali).
Sektor perladangan sawit merupakan sektor yang sangat bergantung kepada pasaran eksport di mana lebih 80 peratus minyak sawit Malaysia adalah untuk tujuan eksport ke luar negara seperti China dan Kesatuan Eropah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Kesedaran Standard MSPO MS2530:2020, Pindaan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 2022 dan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Kepada Koperasi di Auditorium ANGKASA, Kelana Jaya pada 17 Januari 2023. Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, ANGKASA mencuba sedaya upaya membantu anggota koperasi perladangan sawit untuk mendapat dan melaksanakan pensijilan MSPO dengan harapan
dapat menguruskan operasi perladangan secara berkesan. “Dalam usaha memastikan matlamat ini dicapai, koperasi seharusnya memastikan agenda hala tuju industri sawit negara iaitu MSPO ini direalisasikan secara kolektif supaya manfaatnya dapat dicapai dan dinikmati bersama,” katanya. Terdahulu, Timbalan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sektor Perladangan ANGKASA, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dalam ucapannya berkata, program MPSO adalah satu program nasional mandatori untuk ladang kelapa sawit, pekebun kecil dan kilang pemprosesan minyak sawit di Malaysia. Katanya, ANGKASA melantik ANGKASA Research Centre (ARC) untuk menguruskan pengauditan secara berperingkat bagi memastikan semua koperasi di bawah naungan ANGKASA mematuhi segala peraturan yang ditetapkan dalam program MSPO. “Sebanyak 52 koperasi yang menjalankan perniagaan ladang kelapa sawit telah selesai menjalani proses pengauditan MSPO bermula November 2022 sehingga kini,” katanya. Seramai 80 peserta daripada 50 buah koperasi seluruh Malaysia menghadiri program berkenaan yang turut menyaksikan penyerahan sijil penghargaan kepada 50 buah koperasi yang menyertai Program MSPO ANGKASA. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Haji Zulkifly Sulaiman dan barisan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan ANGKASA Negeri.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menyampaikan sijil kepada wakil Koperasi Astana Raja Berhad, Rembau, Negeri Sembilan. Turut kelihatan ialah Pengerusinya, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah (kanan sekali).
Sebahagian peserta yang mengikuti program.
Made with FlippingBook. PDF to flipbook with ease