Buku Program Seminar Buku Teks

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat menganjurkan Seminar Buku Teks Mendepani Kurikulum Persekolahan 2027. Dalam kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah atas penganjuran Seminar Buku Teks Mendepani Kurikulum Persekolahan 2027. Penganjuran seminar ini adalah satu pengiktirafan terhadap kepentingan pendidikan dan usaha kita dalam meningkatkan kualiti bahan pembelajaran di Malaysia. Buku teks bukan sahaja sebagai sumber rujukan, tetapi juga sebagai wahana dalam membentuk pemikiran dan sahsiah murid. Kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap buku teks yang dihasilkan untuk murid-murid di Malaysia, memenuhi standard yang tinggi dan mampu memberikan impak positif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan setanding dengan negara maju. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kualiti buku teks adalah langkah penting dalam mempersiapkan generasi masa depan untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan kompetitif.

Diharapkan seminar ini dapat mencetuskan idea-idea baharu tentang konsep dan pendekatan terkini dalam penyediaan buku teks baharu, dengan memanfaatkan kemajuan teknologi seperti pembelajaran berasaskan aplikasi digital, platform interaktif, dan bahan multimedia, supaya selari dengan Dasar Pendidikan Digital dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang menekankan penggunaan teknologi dalam pembelajaran untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang sudi berkongsi ilmu dan pengalaman. Semoga informasi yang diperoleh ini dapat memberikan pencerahan dan inspirasi bagi kita semua dalam merangka masa depan pendidikan negara yang lebih cemerlang. Akhir kata, saya berharap seminar ini dapat menjadi platform yang bermanfaat kepada pembangunan pendidikan negara kita.

YB FADHLINA SIDEK MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

01

Made with FlippingBook Digital Proposal Creator